Wednesday, August 17, 2011

Debat Alam Sekitar: Pencemaran Alam Sekitar

Antara tema yang paling kerap ditampilkan dalam senarai usul Debat Alam Sekitar (DAS) ialah pencemaran alam sekitar. Malah tidak keterlaluan jika saya katakan hampir semua usul DAS mempunyai kaitan dengan pencemaran alam sekitar sama ada secara langsung mahu pun tidak langsung.

Justeru, molek bagi para pendebat untuk menambahkan pengetahuan mengenai pencemaran alam sekitar bagi memudahkan proses penguasaan fakta bagi menghadapi DAS.

Antara soalan yang pasti timbul di benak para pendebat ialah: Apa yang saya perlu tahu tentang pencemaran alam sekitar? Bukankah terlalu banyak yang perlu dibaca dan dikaji?

Sekali pandang, sememangnya fakta mengenai alam sekitar melimpah-ruah dan tidak akan pernah habis dikaji oleh mana-mana pendebat sekali pun.

Pada hemat saya, cara yang lebih praktikal untuk menguasai fakta berkenaan pencemaran alam sekitar ialah dengan mengenal pasti komponen-komponen berikut:

1. Definisi
2. Kes-kes popular
3. Langkah mengatasi pencemaran
4. Organisasi berkenaan pencemaran
5. Undang-undang, penjanjian & dokumen berkenaan pencemaran

Komponen ini saya senaraikan berdasarkan pemerhatian saya terhadap kekerapan jenis fakta yang dikemukakan dalam DAS. 

Senarai ini tidak tuntas (exhaustive) namun diharap serba sedikit dapat membantu para pendebat mendapat gambaran umum mengenai skop fakta yang perlu diketahui dalam konteks pencemaran alam sekitar.

Bagi yang telah menguasai komponen-komponen tersebut, anda bebas menambah komponen lain yang dirasakan relevan dan menarik untuk disenaraikan sebagai fakta.

Saya sertakan contoh helaian fakta (fact sheet) bagi menggambarkan komponen tersebut (right click imej di bawah dan pilih 'Open link in new tab' untuk paparan lebih besar):


Perlu diingatkan bahawa helaian fakta di atas hanyalah sampel semata-mata. Para pendebat digalakkan mereka bentuk helaian fakta dengan gaya tersendiri yang sesuai dengan teknik pembacaan dan pemahaman masing-masing.

Bagi memudahkan para pendebat memahami helaian fakta ini, berikut merupakan penerangan ringkas bagi setiap komponen yang disenaraikan:

1. Jenis pencemaran

Para pendebat boleh memlilih jenis pencemaran yang umum seperti pencemaran air, udara, tanah, atau bunyi. Helaian fakta ini juga sesuai untuk jenis pencemaran yang spesifik - misalnya pelepasan gas rumah hijau, pembuangan sisa plastik, penipisan lapisan ozon, dan lain-lain.

2. Definisi

Pilih definisi yang sesuai bagi jenis pencemaran yang telah dipilih. Umumnya, definisi "pencemaran" terkandung dalam seksyen 2, Akta Kualiti Alam Sekeliling.

Pun begitu, para pendebat digalakkan untuk mencari definisi yang lebih spesifik dan relevan dengan usul perdebatan. Hal ini dilakukan bukan dengan mereka definisi sendiri, tetapi dengan merujuk organisasi / pandangan sarjana / laporan yang berkaitan dengan jenis pencemaran yang dipilih.

3. Kes-kes popular

Rata-rata pendebat mempunyai bahan rujukan yang sama ketika membuat kajian berkenaan usul. Justeru, tidak mustahil sekiranya fakta yang dikemukakan biasanya tidak jauh berbeza.

Oleh hal yang demikian, adalah penting untuk pendebat menguasai kes-kes popular berkenaan pencemaran alam - bukan sahaja untuk mengukuhkan hujah sendiri, malah untuk meramal dan memahami hujah pihak lawan dalam satu-satu usul.

Misalnya, dalam konteks pencemaran air, para pendebat perlu berkenalan dengan kes pencemaran sungai-sungai tempatan (Klang, Gombak, Linggi, Pahang, dan lain-lain) dan antarabangsa (Thames, Atchafalaya, Ganges, Yangtze, dan lain-lain).

Dalam konteks pencemaran radioaktif dan sisa toksik, sudah pasti para pendebat perlu tahu tentang peristiwa Chernobyl (kegagalan loji nuklear), Bhopal (kebocoran gas toksik), Minamata (keracunan merkuri), dan lain-lain.

Peringatan: Para pendebat juga boleh menyertakan komponen "Kes-Kes Lain" untuk melengkapkan lagi carian, khusus untuk fakta berkenaan pencemaran alam sekitar yang barangkali terpencil dan tidak mendapat liputan meluas.

4. Langkah-langkah mengatasi pencemaran

Biasanya, komponen ini melibatkan tindakan mencegah pencemaran daripada berlaku, atau untuk merawat kesan pencemaran terhadap alam sekitar.

Pendebat digalakkan memberi tumpuan kepada tindakan yang berbentuk fizikal dan penggunaan teknologi bagi mengatasi pencemaran kerana langkah berbentuk dasar dan undang-undang lebih sesuai diklasifikasikan dalam komponen lain.

Langkah / teknologi lazim yang digunakan seperti kitar semula, insinerator, catalytic converter, penapis asap, pembersihan sungai, teknologi bakteria, penggunaan HCFC - ini semua perlu berada di hujung jari para pendebat (sekurang-kurangnya definisi asas dan teknik penggunaan).

5. Organisasi

Terdapat banyak organisasi tempatan dan/atau antarabangsa yang berkait rapat dengan pencemaran alam sekitar. Pilih organisasi yang relevan untuk disertakan di dalam helaian fakta.

Organisasi yang berkenaan boleh terdiri daripada badan penguatkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar atau badan bebas yang memperjuangkan isu alam sekitar seperti Greenpeace, WWF, dan sebagainya.

Salah satu daripada topik yang sentiasa dibincangkan dalam DAS ialah bidang kuasa organisasi-organisasi berkenaan. Justeru, penting bagi para pendebat untuk mengenal pasti sejauh manakah bidang kuasa yang diperuntukkan bagi setiap organisasi.

Beberapa soalan perlu diajukan, misalnya; Adakah organisasi tersebut boleh menggubal undang-undang berkaitan alam sekitar dan menguatkuasakan undang-undang tersebut? Adakah organisasi tersebut boleh mengenakan hukuman terhadap anggotanya? Adakah organisasi tersebut bersangkut-paut dengan kerajaan atau badan antarabangsa?

6. Undang-Undang, Perjanjian & Dokumen

Salah satu langkah untuk mengatasi pencemaran alam sekitar ialah melalui penguatkuasaan undang-undang sama ada melalui penggubalan undang-undang oleh badan legislatif sesebuah negara, perjanjian rentas sempadan yang ditandatangani oleh para anggota sesebuah badan antarabangsa, atau perisytiharan yang dipersetujui bersama dalam konvensyen antarabangsa.

Justeru, para pendebat perlu mengetahui serba sedikit mengenai kesemua perkara di atas untuk memahami mekanisme undang-undang mahupun dokumen rasmi berkenaan alam sekitar.

Beberapa dokumen ulung seperti Konvensyen Basel (kawalan ke atas pemindahan sisa berbahaya), Protokol Kyoto (pengurangan emisi gas rumah hijau), dan Protokol Montreal (perlindungan lapisan ozon) perlu diketahui secara mendalam oleh para pendebat.

Masalah utama yang bakal dihadapi oleh para pendebat dalam memahami dokumen sebegini ialah peruntukannya yang biasanya teknikal dan meleret. Adalah hampir mustahil untuk para pendebat membaca keseluruhan perjanjian / protokol / konvensyen yang mececah ratusan muka surat.

Saya cadangkan agar para pendebat mengakses laman sesawang yang menerangkan dokumen tersebut secara ringkas. Ada sesetengah laman sesawang yang menyediakan ruang FAQ (Frequently Asked Question) untuk membantu pembaca memahami dokumen atau perjanjian antarabangsa yang rumit.

Setelah memahami kerangka dokumen tersebut, barulah klausa-klausa utama dan relevan berkaitan dengan pencemaran alam sekitar boleh dikenal pasti dan disertakan dalam helaian fakta.

Maaflah, entri kali ini berjela-jela. Semoga artikel ini serba sedikit dapat membantu persediaan para pendebat bagi menghadapi DAS tidak lama lagi.

Sebarang soalan berkenaan entri ini boleh disertakan di ruang komen.

Monday, August 8, 2011

Menjelang Debat Alam Sekitar (DAS) 2011

Nota Debat akan memuat naik beberapa entri tentang DAS, sempena pertandingan tersebut yang bakal berlangsung sekitar September tahun ini di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Secara peribadi, saya berpendapat DAS merupakan pertandingan debat paling mencabar dari aspek kandungan dan fakta yang perlu disampaikan dalam perdebatan.

Maka entri Nota Debat akan lebih memberi fokus tentang cakupan fakta yang molek kiranya difahami oleh para pendebat, terutamanya yang memasang hajat untuk mewakili universiti masing-masing dalam pertandingan ini.

Nantikan kemunculannya.

Thursday, July 28, 2011

Selamat Datang

Saya mengambil keputusan untuk memindahkan kesemua entri berkenaan debat dalam Salah Taip ke blog baru ini untuk memudahkan para pembaca yang memfokuskan carian mereka terhadap topik ini.

Semoga Nota Debat dapat memeriahkan lagi kegiatan dunia maya para pencinta seni pengucapan awam, terutamanya debat.

Sekiranya anda mempunyai sebarang soalan untuk saya ulas di sini, boleh alamatkan ke: khairulnizambakeri@gmail.com

Terima kasih dan selamat datang!

Menjelang Debat Perpaduan & Integrasi Nasional 2011

Saya berkesempatan menjengah perlawanan persahabatan debat di antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi MARA (UITM). Tahniah buat UIAM selaku tuan rumah.

Memandangkan perlawanan persahabatan tersebut diadakan sebagai persiapan kedua-dua buah universiti bagi menghadapi beberapa pertandingan terutamanya Debat Perpaduan & Integrasi Nasional (DPIN) 2011 yang akan diadakan pada 22-26 Julai ini di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), saya rasa molek kiranya saya mencoretkan beberapa tips atau petua ringkas yang sedikit sebanyak mampu membantu persediaan para pendebat.

SATU

DPIN merupakan salah satu pertandingan debat bertema, seperti Debat Alam Sekitar dan Debat Kepenggunaan. Justeru, terdapat beberapa ruang lingkup fakta yang wajib diketahui oleh para pendebat. 

Beri fokus pada peristiwa yang mempengaruhi perpaduan di Malaysia bermula dari era Merdeka hingga kini. Berikut merupakan senarai ringkas (tidak komprehensif) berkenaan peristiwa yang relevan dengan pembentukan perpaduan di Malaysia:

  • Pembentukan Parti Perikatan
  • Penggubalan Perlembagaan Persekutuan
  • Tragedi 13 Mei 1969
  • Pembentukan MAGERAN
  • Rukun Negara
  • Pembentukan Jabatan Perpaduan Negara
  • Operasi Lalang (1987)
  • Peristiwa Kampung Rawa (1998)
  • Tuntutan Suqiu (1999)
  • Peristiwa Kampung Medan (2001)
  • Cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (2005)
  • Memorandum 9 menteri (2006)
  • Tuntutan HINDRAF (2007)
  • Isu kalimah Allah (2010)

Perlu diingat, penguasaan fakta dalam isu-isu di atas bukan bermakna kesemua fakta ini perlu menjadi hujah wajib yang dikemukakan dalam setiap usul yang didebatkan. 

Pun begitu, penguasaan fakta dalam bentuk kronologi ini penting untuk memastikan para pendebat memahami perkembangan isu perpaduan di Malaysia agar setiap usul dapat diperhalusi dengan perspektif yang lebih luas dan menyeluruh.

DUA

Perkembangan isu perpaduan juga berkait rapat dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu, kedudukan agama Islam dan Bahasa Melayu, kebebasan beragama, dan sebagainya.

Penting bagi seorang pendebat untuk mengetahui (bahkan menghafal) peruntukan-peruntukan tersebut agar lebih mudah dijadikan rujukan, hujah, malah bidasan dalam sesi debat.

Pemahaman peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan lebih mudah diperoleh sekiranya para pendebat mengkaji cadangan yang dibentangkan oleh Suruhanjaya Reid ketika Perlembagaan Persekutuan mula-mula digubal. 

Beberapa makalah undang-undang berkenaan Perlembagaan Persekutuan yang dikarang oleh pakar-pakar perlembagaan seperti Profesor Shad Salem Faruqi dan Profesor Abdul Aziz Bari boleh dijadikan panduan.

TIGA

Kebanyakan usul DPIN hampir mirip bunyinya, terutama sekali usul-usul yang mengandungi subjek yang sama, misalnya perpaduan, 1Malaysia, integrasi nasional.

Para pendebat perlu berhati-hati agar tidak mengemukakan kes perdebatan yang bersifat hentam keromo atau pukul rata; iaitu satu kes yang digunakan berulang kali walau pun pada usul berbeza.

Hal ini berbahaya kerana setiap usul memerlukan pendekatan yang berbeza. Sekiranya kes sama dibentangkan, pihak lawan akan dapat membaca taktik pasukan dengan lebih mudah. Sekali pun pihak lawan berbeza-beza, para pendebat perlu mengakui bahawa setiap taktik pasukan mudah tersebar sesama pendebat dalam mana-mana kejohanan.

Para hakim juga akan cepat bosan dengan pendekatan yang sama bagi setiap usul, dan ini akan menjejaskan tanggapan hakim terhadap pasukan.

EMPAT

Kita tidak dapat mengelak daripada berbincang dan berdebat tentang beberapa isu sensitif apabila isu perpaduan dibangkitkan.

Justeru, para pendebat perlu matang dalam menilai isu atau hujahan mana yang wajar dikemukakan dalam perdebatan dan isu yang sensitif. Tidak ada sesiapa yang mahu gelanggang DPIN menjadi medan tengkar antara kaum.

Hal ini juga penting kerana panel hakim bukan saja terdiri daripada bekas pendebat, pegawai Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM), mahu pun pegawai Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) - malah pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang sentiasa bertungkus-lumus merancang program berteraskan perpaduan di seluruh negara.

LIMA

DPIN diadakan untuk meraikan kepelbagaian. Tonjolkan kekuatan pasukan anda yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Usah jadikan penguasaan Bahasa Melayu yang sederhana mana-mana ahli pasukan sebagai titik kelemahan.

Sebaliknya, serlahkan kepelbagaian dalam pasukan melalui ucapan alu-aluan (yang ringkas) yang menggambarkan warna-warni dalam pasukan. Hal ini yang menjadikan DPIN unik berbanding pertandingan debat lain.

Tentang Hujah #2

Ada banyak soalan berkenaan hujah yang sering ditimbulkan oleh para pendebat, khususnya pendebat muda. Kebanyakan berkisar tentang isu yang sama - cara membentuk hujah dengan baik.

Saya percaya bahawa debat tidak memerlukan format yang terlalu ketat/rinci. Sebab itulah, sedikit sukar untuk saya menjawab dengan tepat andai ada yang bertanya - apakah bentuk hujah yang baik?

Pun begitu, tidak pula bermakna hujah boleh dibikin semberono tanpa sebarang pertimbangan.

Pada hemat saya, proses membentuk hujah yang baik bergantung kepada dua perkara; format pertandingan debat, dan jenis usul yang didebatkan.

Hal ini demikian kerana format pertandingan menentukan isi kandungan hujah. Debat Alam Sekitar, misalnya, merupakan pertandingan yang menitikberatkan kejituan fakta yang biasanya melibatkan penerangan saintifik. 

Jenis usul juga perlu diambil kira. Usul perbandingan, misalnya, mempunyai bentuk hujah yang berbeza dengan usul peribahasa dan semantik. Tentang usul, kena tunggu dalam siri lain.

Pembikinan hujah juga berkait rapat dengan proses pembentukan kes. Pun begitu, untuk siri ini, saya masih belum mahu sentuh tentang proses tersebut. Ya, kena tunggu dalam siri lain.

Untuk siri ini, kita telusuri kerangka hujah yang lazim digunakan dalam debat ala parlimen. 

1. Kata Kunci - Huraian - Contoh - Kesimpulan

Ini kerangka hujah paling biasa digunakan. Malah saya masih ingat saat mula-mula menyertai latihan debat, rangkaian perkataan ini perlu dihafal. Baru melekat dalam otak, kata guru debat saya.

Apa maksud kerangka ini?

Hujah didirikan dengan empat komponen. Pertama, kata kunci atau tajuk hujah. Kata kunci boleh hadir dalam pelbagai bentuk. 

Misalnya, bagi usul Pencemaran Alam Salah Industri, hujah boleh dilabelkan dengan kata kunci seperti 'pencemaran air', 'pencemaran udara', dan 'pencemaran tanah'.

Apa pun bentuk kata kunci yang digunakan, molek sekali jika kata kunci berkenaan ringkas dan mudah difahami. Kata kunci yang meleret-leret atau bersifat huraian perlu dielakkan. 

Huraian pula merupakan penerangan terhadap kata kunci yang diberikan. Biasanya, huraian dibentuk daripada kes yang dibina dalam perdebatan. Oleh hal yang demikian, amat penting untuk para pendebat memahami bahawa fakta tidak semestinya huraian dan begitulah sebaliknya.

Misalnya, bagi kes kerajaan, Pencemaran Alam Salah Industri - pencemaran alam berlaku disebabkan industri menjadi penyumbang bahan cemar terbanyak berbanding punca pencemaran lain. (Ini contoh kes yang ringkas, bukan kes yang baik.)

Maka, kata kunci 'pencemaran air' bolehlah dihuraikan dengan menyatakan terdapat banyak punca bagi pencemaran air, tetapi industri merupakan penyumbang terbanyak. Boleh juga disertakan kaitan antara pencemaran air dan industri dari segi penggunaan air dalam industri dan sebagainya.

Fakta hadir selepas huraian. Secara ringkas, fakta merupakan bukti dalam dunia nyata yang menyokong huraian.

Misalnya, dalam usul di atas, pendebat menyenaraikan punca-punca pencemaran air dan peratusannya - seraya menunjukkan bahawa industri merupakan penyumbang terbanyak. Turut disertakan, sebagai contoh, sungai-sungai yang tercemar akibat pembuangan sisa industri.

Fakta berperanan sebagai bukti dan sokongan. Oleh itu, kurang molek andainya fakta dipindahkan terus dari sumber ke gelanggang debat tanpa sebarang penyesuaian.

Fakta mentah tidak akan membantu audiens memahami kes pasukan dengan baik. Misalnya, dalam contoh di atas, boleh saja andai pendebat menyertakan fakta tentang sungai-sungai yang tercemar. Senaraikan sebanyak mungkin. Sertakan juga kawasan laut yang tercemar.

Tetapi, adakah fakta sedemikian MEMBUKTIKAN bahawa pencemaran alam salah industri? Sudah tentu tidak.

Sebab itu, fakta perlu diteliti dan diperhalus. Mesti cari bahagian fakta yang selari dengan kes pasukan, bukan surih-tampal semata-mata.

Akhir sekali, kesimpulan. Kesimpulan boleh muncul dalam pelbagai bentuk. Fungsinya sama, untuk mengingatkan kembali audiens tentang kes pasukan serta hujah yang telah disampaikan.

Biasanya, kesimpulan disampaikan dengan menyatakan kembali premis pasukan bersama ringkasan hujah.

Tentang Hujah #1

Pengetahuan dan kemahiran menyampaikan hujah tidak hanya kritikal untuk pendebat pertama dan kedua semata-mata. Pendebat ketiga pun perlu arif dengan selok-belok hujah.

Kenapa?

Pendebat ketiga tugasnya membidas hujah, maka lebih tajam dan berbisalah setiap bidasan andai pendebat ketiga mendalami proses membina hujah berkesan - segala kelemahan hujah pihak lawan lebih pantas dikesan.

Saya akan cuba mengupas teknik penghujahan dalam beberapa sudut. Untuk siri pertama, seperti biasa, saya kurang gemar untuk berkongsi aspek teknikal.

Kita tinjau terlebih dahulu, apakah perkara yang dianggap hujah oleh kebanyakan pendebat muda (dan sebahagian pendebat utama) tetapi sebaliknya, perkara tersebut bukanlah hujah.

Seperti kata salah seorang guru debat saya, dalam debat amat penting sekali untuk mengesan "what is and what is not".

1. Fakta

Fakta bukan hujah. Fakta hanyalah sebahagian daripada komponen hujah. Tanpa huraian, fakta tidak akan membantu penerangan kes.

Sebab itu, fakta yang sama boleh digunakan untuk menyokong kes kerajaan atau pembangkang, andai cara huraiannya tepat.

Sebab itu jugalah, fakta yang dilambakkan secara pukal dalam bentuk senarai, sekali pun kelihatan mengagumkan - jarang sekali menarik perhatian hakim sekiranya tiada penerangan yang jelas.

Fakta hanya akan menjadi hujah apabila dihuraikan berdasarkan jalan cerita yang telah dibina ketika pasukan membincangkan kes 30 minit sebelum perdebatan.

2. Bidasan

Bidasan bukan hujah. Saya tahu, pasti ada pembaca yang sedang merungut - aku tahulah bidasan bukan hujah, tak payahlah tulis.

Saya faham.

Cuma, banyak juga kesilapan yang dilakukan oleh para pendebat yang gemar sekali membidas hujah pihak lawan dan pada masa yang sama menerangkan kes pasukan sehingga terlupa untuk menyertakan hujah.

Tabiat begini juga wujud sekiranya pendebat buntu dalam usaha mencari hujah sendiri dan kononnya ingin "mengitar semula" hujah pihak lawan secara kebalikan (reverse).

Akhirnya, penerangan yang wujud hanyalah bidasan terhadap hujah pihak lawan tanpa sebarang komponen yang mampu menukar bidasan tersebut kepada hujah pasukan.

3. Pandangan Terhadap Usul

"Anda perlu menerima usul ini kerana...", "Inilah sebab kami di pihak yang benar kerana...", "Jelas sekali kebenaran di pihak pembangkang kerana..." - ini semua slogan-slogan kosong sekiranya pendebat hanya meleteri audiens dengan pandangan peribadi tanpa sebarang pembuktian.

Yang lebih menakjubkan, terdapat beberapa pendebat yang mampu berucap tanpa henti hanya dengan mengulang pendirian yang sama.

Seluruh audiens sudah pun mengetahui bahawa pendebat mewakili pasukan kerajaan atau pembangkang.

Maka terbazirlah masa yang telah disediakan andai pendebat memilih hanya untuk omong kosong dengan menyatakan pendapat tentang usul - walhal pendapat ini boleh saja diperkukuh dengan jalan cerita yang baik dan fakta yang tepat.

4. Analisis Logik

Sama seperti fakta, analisis logik hanyalah komponen hujah. Analisis logik tidak boleh berdiri sendiri sebagai hujah.

Misalnya, amat janggal sekali sekiranya bagi usul "Kita Perlukan Model Ekonomi Baru (MEB)", hujah pihak kerajaan ialah: kita perlukan MEB kerana kita perlukan dasar ekonomi, mana ada negara yang tak ada dasar ekonomi.

Ini contoh sajalah.

Sekali pun analisis logik mudah dihadam oleh audiens, tanpa sebarang bukti, penerangan, dan fakta - analisis logik juga mudah dipatahkan oleh pihak lawan.

Apatah lagi sekiranya pihak lawan gemar memanipulasi logik sehingga kes dan hujah pendebat tenggelam begitu sahaja.

Dilema Pendebat Kedua #3

(Bahagian 1 | 2)

Saya akan mengupas mengenai pendebat kedua pembangkang (Timbalan Ketua Pembangkang - TKP) dalam siri ini.

Secara umumnya, peranan TKP hampir sama dengan Timbalan Perdana Menteri (TPM) bagi pasukan kerajaan. Serangan terhadap kes lawan dan mendirikan kes dengan hujah dan fakta.

Pun begitu, terdapat beberapa fungsi khusus bagi TKP yang, jika diberi perhatian dan digunakan sepenuhnya, mampu membantu para pendebat untuk memainkan peranan sebagai TKP dengan lebih berkesan.

1. Kes Lawan Sudah 'Siap'

TKP bangkit untuk berucap setelah TPM dan Perdana Menteri (PM) selesai berucap. Secara teknikal, kes kerajaan sudah selesai dibina - sama ada pembentangan yang dilakukan oleh PM, atau pembetulan yang dibikin oleh TPM.

Situasi ini menjadikan peranan TKP agak unik. Mengapa?

Pertama, TKP boleh menjelaskan hal ini kepada audiens. Beritahu mereka, kes kerajaan sudah siap - tetapi di mana silapnya? Di mana cacatnya? Analisis ucapan PM dan TPM. Kenal pasti percanggahan antara kedua-duanya.

Kedua, TKP juga boleh, secara retorik, 'menghalang' pendebat ketiga pihak kerajaan daripada melakukan sebarang pembetulan terhadap kes yang sudah siap. 

Nyatakan halangan tersebut kepada audiens. Beri beban tambahan kepada pendebat ketiga kerajaan untuk cari jalan keluar.

2. Banding. Jangan Ulang.

Salah satu teknik yang kerap saya temukan dalam gelanggang debat (yang digunakan sama ada oleh pendebat muda atau utama) ialah pengulangan serangan atau pertikaian yang telah dibawa oleh Ketua Pembangkang (KP).

Strategi ini, walau tidak bercanggah dengan mana-mana format debat, namun perlu dielakkan kerana teknik ini menggambarkan kekurangan ide di pihak pembangkang.

Tambahan pula, sekiranya serangan KP sudah dipatahkan oleh pihak lawan, maka apakah lagi gunanya melancarkan jurus yang sudah diketahui cara tepisnya?

Serangan KP berbentuk pandangan pertama. Lihat dan serang. 

Sebaliknya, TKP sudah mendengar kes kerajaan-serangan KP-serangan balas TPM. Maka, bentuk bidasan atau pertikaian baru diperlukan.

Serangan molek sekali disampaikan dalam bentuk analisis perbandingan. What they have done so far lebih menggamit perhatian berbanding what's wrong with them.

3. Jeling-Jeling Pendebat Ketiga

Sebagai TKP, anda merupakan orang terakhir yang menyampaikan hujah dalam gelanggang. Selepas itu, sesi bidasan akan bermula.

Justeru, beberapa perkara perlu sentiasa tersemat dalam minda sebagai peringatan.

Pertama, jangan beri bola tanggung kepada pihak lawan. Berhati-hati dalam membuat pembetulan atau penerangan semula kes pasukan. Sekali anda tersilap langkah, smash pertama pendebat ketiga kerajaan akan meranapkan kes pasukan.

Serangan semerta sedemikian perlu dielakkan dengan apa cara sekali pun.

Kedua, kebanyakan pasukan (peringatan: BUKAN semua) mempunyai pendebat ketiga yang mempunyai kemampuan untuk menghidupkan kes pasukan.

Pasukan sebegini biasanya mempunyai kecenderungan untuk 'mengabaikan' kesalahan yang dilakukan oleh PM dan TKP, atau pembetulan kesilapan dilakukan sambil lewa kerana mereka sedar pendebat ketiga akan kembali membaiki keadaan.

Strategi begini perlu dimanfaatkan oleh TKP. Timbunkan segala beban kepada pendebat ketiga dengan mendedahkan kesalahan pasukannya kepada audiens. 

Beritahu audiens bahawa segala pertikaian ini wajib dijawab oleh pendebat ketiga kerajaan. 

Ya, teknik ini lebih kurang sama dengan TPM, cuma pendebat ketiga lebih terdedah kepada risiko penggunaan masa yang tidak seimbang kerana penerangan kes akan diadun bersama-sama dengan bidasan - menjadikan ucapan mereka lebih panjang daripada apa yang telah dirancang.

Dilema Pendebat Kedua #2

(Bahagian: 1)

Dalam debat ala parlimen, pendebat kedua dikenali sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) bagi pasukan kerajaan (pencadang) dan Timbalan Ketua Pembangkang (TKP) (ada juga format yang menamakan posisi ini sebagai Pembangkang Kedua) bagi pasukan pembangkang.

Secara permukaan, posisi ini seolah-olah mempunyai fungsi yang sama. 

Pun begitu, pada hemat saya, terdapat banyak perbezaan antara peranan TPM dan TKP disebabkan oleh giliran ucapan mereka yang akan mempengaruhi dinamik dan pertembungan idea yang telah dicipta oleh pendebat sebelum mereka.

Justeru, molek rasanya andai saya mendekati kedua-dua posisi ini dalam siri yang berbeza. Mudah-mudahan, dapatlah para pendebat mendalami peranan yang dimainkan oleh pendebat kedua dalam dimensi kerajaan dan pembangkang dengan lebih tepat.

Dalam siri ini, saya akan cuba mengupas peranan pendebat kedua sebagai TPM. 

Harus diingat, yang saya karang dalam siri ini bukanlah struktur ucapan pendebat kedua, tetapi lebih kepada petua ringkas untuk menjadi pendebat kedua pasukan kerajaan yang berkesan.

1. Pantas Membaca Gerakan Lawan 

Berbeza dengan pendebat ketiga yang mempunyai masa yang lebih untuk mereka bentuk serangan, TPM hanya mempunyai tujuh hingga lapan minit untuk merangkanya.

Justeru, TPM harus pantas membaca gerakan lawan. Paling molek, struktur kes pasukan telah sedia disalin dan dirujuk setiap kali ketua pembangkang menyerang kes pasukan.

Kenal pasti bahagian kes mana yang diserang. Sebab itu, catatan kes yang jelas dan sistematik amat membantu.

Kemudian, perhatikan struktur kes pembangkang. Kelemahan kes pembangkang akan mudah ditemukan sekiranya anda terlebih dahulu 'meramal' beberapa bentuk kes yang mungkin dibawa oleh pasukan lawan semasa sesi persediaan.

Kalau tak ada pun tak apa. Tumpukan perhatian kepada definisi dan rasional kes. Ingat, mendengar kes pembangkang bukan sekadar menyalin APA yang ada dalam kes mereka.

Mendengar kes pembangkang ialah memerhatikan kes mereka BERPANDUKAN kes kerajaan. Pembangkang tugasnya membangkang.

Maka binaan kes mereka mesti berasaskan serangan yang telah dilakukan kepada kes kerajaan. Itu yang TPM perlu perhatikan.

Baca catatan kes pasukan sambil dengar pembentangan kes pembangkang. Kena atau tidak bangkangannya? Bertembung atau tidak kes mereka dengan kes anda?

2. Jangan Tamak, Usah Gelojoh

Tujuh atau lapan minit, percaya atau tidak, terlalu singkat. 

Lazimnya, TPM yang berkesan menggunakan 1.5 hingga 2.5 minit untuk menyerang kes pembangkang dan menerangkan kes pasukan. Bakinya untuk hujah dan fakta.

Oleh hal yang demikian, TPM harus mengenal pasti kelemahan UTAMA yang ingin diserang dalam kes pembangkang. Kes, bukan hujah.

Teliti definisi dan rasional terlebih dahulu, kemudian pergi kepada kaitan hujah dan fakta dengan kes. Di mana kelemahannya? Wujudkah kaitan yang terputus? 

Tinggalkan kelemahan hujah untuk dibidas oleh pendebat ketiga, kecuali hujah ketua pembangkang terlalu lemah dan anda ingin melancarkan knock-out punch seawal perdebatan.

Nama pun tumbukan KO, maka mesti ringkas dan padu. Ingat, anda hanya ada masa kurang daripada tiga minit untuk menyerang dan bertahan.

Hujah dan fakta lain, tinggalkanlah. Jangan bolot semua. 

Sebagai TPM, yang lebih dinanti-dinanti daripada anda ialah hujah dan fakta yang akan menyempurnakan kes pasukan.

3. Ganggu Rakan Sejawatan

Apabila giliran TPM tiba, kronologi debat yang sudah selesai ialah Perdana Menteri (PM) - Ketua Pembangkang (KP). 

Untuk TKP, kronologinya PM - KP - TPM.

Apa motif saya menerangkan kronologi ini? Inilah yang membezakan pola serangan TPM dan TKP. 

Perhatikan bahawa tiada unsur perbandingan yang boleh dilakukan oleh TPM kerana hanya KP yang telah berucap dari pasukan pembangkang.

Pun begitu, sesukar mana tugas TPM untuk menyerang dan bertahan, begitu jugalah sukarnya tugas TKP. 

Justeru, moleklah andai TPM mengambil kesempatan ini untuk membebankan TKP dengan serangan yang akan mengganggu pengurusan masa TKP.

Misalnya, TPM boleh memberitahu audiens secara terperinci tentang bahagian kes yang perlu diterangkan semula oleh TKP.

Dedahkan kepada audiens bahawa kes pembangkang perlu diperbaiki dan tanggungjawab ini perlu segera dipikul oleh TKP.

Walau bagaimanapun, strategi ini berisiko sekiranya anda bertemu dengan pendebat kedua yang mantap atau berpengalaman di pihak pembangkang.

Justeru, rancang serangan dengan teliti. Jangan pula nanti umpan memakan diri.

Dilema Pendebat Kedua #1

Untuk siri pertama, elok juga kalau kita imbau semula peranan pendebat kedua. 

Kemudian, kita kenal pasti beberapa karakter berguna yang boleh diamalkan oleh para pendebat yang berada di posisi berkenaan.

Biasanya pendebat kedua (Timbalan Perdana Menteri / Timbalan Ketua Pembangkang) mempunyai tugas untuk menegakkan kembali kes yang dibawa oleh pendebat pertama, di samping menyerang pihak lawan dan membawa hujah untuk pasukan.

Kenapa saya condongkan frasa 'menegakkan kembali'? 

Sebab, ini frasa yang paling masyhur dalam kalangan pendebat kedua, namun begitu sedikit sekali yang memahami semangat dan mekanisme frasa tersebut.

Yang itu, akan saya karang dalam entri seterusnya.

Secara keseluruhan, pendebat kedua merupakan pendebat yang perlu membidas dan berhujah secara seimbang dan bijak dalam tempoh yang disediakan.

Inilah yang dinanti-nantikan oleh audiens, terutamanya para hakim.

Pendebat kedua yang mampu mematahkan kes lawan seawal minit pertama ucapan, dan mampu memukau audiens dengan ketajaman hujah dan fakta untuk menerangkan kes pasukan.

Soal teknik dan struktur, ini juga saya akan karang dalam siri seterusnya.

Justeru, bagi memastikan pendebat mampu menjalankan kedua-dua tugas membidas dan menyampaikan hujah dengan baik, berikut merupakan beberapa karakter atau sifat yang molek sekali diamalkan.

1. Bahagi Dua

Mentaliti berhujah dan membidas tidak sama. Menyerang dan bertahan, tidak sama.

Sebagai pendebat kedua, anda perlu membahagikan perasaan dan karakter kepada dua keadaan.

Semasa membidas, tumpukan mood penyampaian kepada serangan. Dengan santun dan sinis, buktikan kelemahan kes lawan.

Ini waktu menyerang. Bahasa mesti ringkas dan tajam. Intonasi juga lebih sinis dan nakal. 

Berbeza sekali apabila apabila anda tiba pada sesi penghujahan. Tidak boleh tidak, karakter menyerang tadi perlu dipadam.

Tumpuan anda sekarang bukan lagi sepenuhnya pada pihak lawan, tetapi kebanyakannya beralih pada audiens (terutamanya hakim).

Mereka menunggu anda menyampaikan hujah dan fakta untuk pasukan. Kalau asyik serang saja tapi tiada isi, apa faedahnya?

Sesi penerangan perlu dilakukan dengan jelas dan teliti. Bantu audiens memahami setiap hujah dan fakta. Tampilkan diri sebagai individu yang mudah didekati.

Sebagai seorang rakan. Sebagai seorang guru. Penerangan mementingkan karakter yang boleh dipercayai. Unsur kebodohan buta tuli atau jenaka keterlaluan akan memadamkan rasa percaya audiens.

2. Cuba Posisi Lain

Hal ini sebenarnya baik untuk semua pendebat tetapi saya perlu tekankan karakter ini kepada pendebat kedua.

Jangan sekali-kali kekal pada posisi pendebat kedua semata-mata. Saya pasti, mana-mana jurulatih akan menukarkan kedudukan para pendebat ketika sesi latihan.

Usah malu untuk mencuba posisi pendebat pertama dan ketiga.

Malah, inilah langkah yang penting untuk anda menyelami teknik penerangan (pendebat pertama) dan teknik bidasan (pendebat ketiga) dengan lebih mendalam.

Kenal pasti kemahiran dan ciri-ciri penting yang anda mahukan ketika berlatih sebagai pendebat pertama dan ketiga.

Apabila anda berlatih sebagai pendebat pertama, misalnya, perhatikan perjalanan debat dan kenal pasti apa yang anda mahu pendebat kedua sampaikan selepas giliran anda tamat untuk menambah kekuatan pasukan.

Perkara itu jugalah yang akan anda gunakan apabila kembali ke posisi asal.

3. Faham Jalan Cerita

Pendebat pertama meletakkan batu asas kes pasukan. Pendebat ketiga akan cuba menghancurkan batu asas pihak lawan.

Maka, pendebat kedualah antara yang memikul beban terberat bagi memastikan audiens benar-benar memahami kes pasukan.

Hal ini hanya mampu dicapai apabila anda faham sungguh-sungguh dengan kes pasukan.

'Faham' tidak sama dengan 'tahu'.

Tahu ialah apa yang tertulis pada catatan debat anda. Premis, rasional, hujah, fakta. Semua orang yang dengar, mungkin tahu.

Tetapi, faham ialah kemampuan untuk menyertakan JALAN CERITA kes anda ke dalam setiap fakta yang dikemukakan.

Maknanya anda boleh ceritakan kes pasukan dari arah mana sekali pun. Depan ke belakang, kiri ke kanan. Semua boleh.

Jalan cerita mesti dikenal pasti seawal perbincangan dan disambung ketika perdebatan berlangsung.

Apakah yang ingin dibuktikan pada penghujung setiap fakta? Apakah yang berlaku dalam setiap hujah? Di manakah kaitan antara frasa-frasa dalam usul? Bagaimana untuk anda kaitkan premis dan kesimpulan setiap fakta?

Semua ini mesti dicerna tanpa sebarang ragu oleh pendebat kedua.

Tiada guna melambakkan fakta merata-rata, namun tiada jalan cerita yang membuktikan kes pasukan. 

Masalah Penyampaian #3

(Bahagian: 1 | 2)

5. Jangan Malas Menulis

Kerap juga saya perhatikan kertas catatan pendebat muda ketika sesi latihan. Kebanyakan yang mempunyai masalah penyampaian berkongsi rupa kertas yang sama.

Nota-nota bercempera dan tidak teratur.

Ini satu tabiat buruk dan perlu dijauhi, melainkan anda sudah mencapai tahap berdebat dengan lancar tanpa sepatah kata pun tercatat sebagai nota.

Bentuk catatan debat menggambarkan bentuk fikiran anda. Justeru, molek sekali sekiranya para pendebat mencatat hujah atau bidasan secara teratur. 

Manfaatkan catatan untuk membantu pembentukan idea, bukannya menulis teks. Zahirkan aliran idea seringkas mungkin pada kertas catatan. 

Singkatan, simbol, carta alir, peta minda - gunakan apa saja yang mampu membantu kefahaman anda untuk menyampaikan hujah atau bidasan.

Kalau catatan sendiri pun anda baca sambil berkerut dahi, bagaimana untuk memberi faham dan yakin pada audiens?

6. Mula Pada Minit Pertama

Satu lagi tabiat yang sering saya perhatikan dalam kalangan pendebat muda ialah reaksi mereka apabila tiba giliran untuk menyampaikan ucapan.

Ramai juga yang terkejut atau tersentak kecil apabila nama atau giliran dipanggil. 

Hal ini bagi saya aneh. Sebab, bukankah anda sedia sedar bahawa anda berada dalam gelanggang perdebatan dan giliran anda pasti tiba?

Mengapa masih ada yang seolah-olah tidak menyangka giliran mereka tiba?

Jawapan saya mudah. Ada dalam kalangan anda yang shut down otak, atau meletakkan otak dalam keadaan standby sehinggalah giliran anda.

Apabila ini berlaku, otak anda akan dipaksa bekerja keras untuk melakukan banyak perkara pada masa yang sama.

Anda perlu menyusun segala ide, merujuk kembali nota debat, mengatur pernafasan, mengenal pasti situasi sekeliling dan audiens, mencari kosa kata untuk disampaikan, dan banyak lagi - semuanya pada saat anda berdiri.

Hasilnya? Anda gugup. Deruan adrenalin akan menguasai segala-galanya.

Gerakkan jentera fikir seawal minit pertama, tidak kiralah anda berdebat di posisi mana sekali pun. Susun dan ulang sebut aturan hujah dan fakta dalam minda.

Semakin kerap anda mengulang kaji hujah dan bidasan sebelum sesi ucapan bermula, semakin mudah untuk anda menyampaikannya.

Perasaan gugup untuk menyampaikan ucapan sebenarnya berpunca daripada kealpaan kita bahawa debat hanya semata-mata seni pengucapan awam.

Debat juga (atau lebih utama sebagai) seni berfikir. Kerah akal untuk bekerja, bukan hanya mengasah lidah dan tutur bicara.

Masalah Penyampaian #2

(Bahagian: 1)

3. Tahu Apa, Tak Tahu Bagaimana

Pada hemat saya, ini kelemahan yang sering menjadi keluhan pendebat muda. "Saya tahu apa nak cakap, tapi tak tahu macam mana nak cakap."

Mengapa hal ini boleh berlaku? Bagaimana ide sedia ada tidak boleh diterjemahkan dalam bentuk kata-kata yang disampaikan secara berkesan?

Jawapan paling mudah, kerana perkataan yang diperlukan bagi membolehkan pendebat meluahkan ide dan fakta tidak wujud dalam minda. Ya, penyambungan ide memerlukan kosa kata.

Kosa kata yang saya maksudkan bukanlah glosari puitis. Bukan. Ini koleksi perkataan biasa yang digunakan untuk menyambung ide dan menyampaikannya dengan berkesan.

Misalnya, kata hubung (dan, atau, kerana) atau penanda wacana (walau bagaimanapun, oleh hal yang demikian, pun begitu, malah).

Perhatikan langgam bahasa yang digunakan dalam akhbar. Teliti cara ide dan hujah disambung dalam aliran yang mudah dihadam. Baca, baca, dan baca. 

Ide dan maklumat dalam minda sememangnya wujud bercempera. Macam susun suai gambar. Kalau tak ada perkataan yang sesuai sebagai penyambung, maka ide akan kekal terpisah.

Tambahkan kosa kata. Baca, baca, dan baca.

4. Pendebat Perlu Bernafas

Percaya atau tidak, ramai juga pendebat yang tiba-tiba mengubah cara bernafas sebaik sahaja mula berucap. Belum habis tujuh atau lapan minit, sudah tercungap-cungap.

Apabila sudah lelah sedemikian rupa, penyampaian pasti terganggu.

Secara fisiologi, tentulah normal apabila tempo pernafasan berubah ketika debat. Apabila kita gementar, degupan jantung meningkat. Begitulah seterusnya. Ini bukan entri saintifik.

Cuma, saya galakkan para pendebat untuk mengawal pernafasan ketika berdebat. Beri peluang paru-paru anda mengambil udara ketika berucap.

Caranya? Mesti ada jeda henti ketika berdebat. Berhentilah sesaat dua antara satu fakta dengan fakta lain. Jangan risau, masa pasti mencukupi andai bijak mengatur kandungan ucapan.

Selain mengatur nafas, jeda henti juga membantu anda menyusun perkataan yang bakal diucapkan selepas itu. 

Jangan rusuh dalam debat. Jangan seksa diri. Beri ruang pada diri untuk berfikir dan bernafas.