Friday, March 23, 2012

Tentang Pasukan #2

Kita sambung tentang strategi pasukan. Entri lalu bercerita tentang disiplin dan kerjasama setiap pendebat ketika menyiapkan kes dan hujah dalam tempoh 30 minit waktu perbincangan.

Kali ini, saya nak kongsi tentang peranan ahli pasukan sebagai mata, telinga, dan akal satu sama lain.

2. Agih Tugas Dalam Gelanggang Debat

Akibat terlalu menumpukan perhatian kepada kes dan hujah, sesetengah pasukan terlepas pandang tentang peranan satu sama lain. Hal ini boleh dielakkan sekiranya para pendebat membiasakan diri dengan pengagihan tugas sebelum masuk ke gelanggang.

Misalnya, sekiranya anda merupakan pasukan kerajaan, sudah pasti pendebat kedua dan ketiga mempunyai kusyen masa selama tujuh atau lapan minit ketika pendebat pertama berucap.

Gunakan masa ini sebaik-baiknya untuk pendebat kedua dan ketiga berbincang dan menyiapkan hujah dan fakta yang barangkali belum sempat disudahkan ketika sesi persediaan.

Begitu juga dengan pasukan pembangkang. Ketika pendebat pertama kerajaan (PM) menyampaikan hujah, anda perlu buat banyak tugas. Paling penting, memastikan kes yang telah dibina ketika sesi perbincangan sesuai dan responsif dengan kes kerajaan.

Jika tidak, perlu ada ubah suai. Jadi siapa yang mahu berbincang dan siapa yang mahu terus dengar kes dan hujah kerajaan? Ini perlu ditetapkan. Contohnya, ketika PM berucap, pendebat pertama dan kedua pembangkang akan berbincang dan meneliti kes kerajaan. Hanya pendebat ketiga yang mencelah. 

Hal ini mampu memberi ruang kepada pihak pembangkang untuk membina kes yang lebih responsif, pada masa yang sama tidak leka dalam perbincangan hingga terlepas pandang kelemahan dalam hujah dan kes pihak lawan.

Ini contoh saja. Mana-mana kombinasi boleh diuji oleh para pendebat mengikut kesesuaian pasukan masing-masing.

Satu lagi strategi melibatkan tanggungjawab pendebat ketiga untuk membidas hujah dan fakta pihak lawan. Tidak semestinya tugas untuk mendengar dan menyalin fakta pihak lawan diserahkan bulat-bulat kepada pendebat ketiga.

Apatah lagi sekiranya pihak lawan cenderung menghamburkan timbunan fakta yang sukar dicerap kesemuanya oleh pendebat ketiga, kecuali bagi yang benar-benar cekatan dan mahir.

Pendebat pertama dan kedua yang sudah pun selesai dengan tugas mereka tidak perlu goyang kaki. Teruskan mendengar dan bantu pendebat ketiga mencatat hujah dan fakta. Malah lebih baik jika ahli pasukan mampu mencadangkan bidasan kepadanya.

Setakat itu saja untuk entri ini. Dalam entri akan datang, saya akan cuba kupas dinamik dan strategi pasukan dalam celahan dan penggulungan.

Jumpa lagi!


Thursday, March 22, 2012

Tentang Pasukan #1

Pasti ramai yang kerap mendengar omelan bahawa 'debat bukan pidato berkumpulan'. Pada hemat saya, ini benar. Debat ala parlimen bukan one man show, walau banyak pasukan yang dilihat membawa nama besar seorang pendebat konon sebagai sauh pasukan.

Ini pemikiran sempit yang perlu dibuang. Messi tidak akan berjaya di Barcelona tanpa hantaran tepat Iniesta dan Xavi. Khairul Fahmi Che Mat masih bergelut menjaga gawang akibat kelemahan benteng pertahanan.

Jadi entri ini akan menghuraikan serba sedikit tentang perkara-perkara kecil yang mungkin kita terlepas pandang dalam latihan debat. Maklum saja, latihan lebih tertumpu kepada kupasan fakta/isu, pembinaan kes, kekuatan persembahan, dan sebagainya.

Saya anggap kekuatan pasukan sebagai satu unit yang mempunyai strategi bijak amat penting untuk memastikan kes yang dibawa dilihat konsisten, begitu juga dengan serangan kepada pihak lawan.

1. Disiplin Semasa Waktu Persediaan

Biasanya, debat ala parlimen memberikan tempoh 30 minit untuk setiap pasukan menyiapkan kes dan hujah. Dalam hal ini, pendebat keempat (saya kurang gemar guna istilah pendebat simpanan) perlu biasakan diri untuk memantau masa persediaan. 

Ingatkan ahli pasukan tentang baki masa yang tinggal. Ini mampu mengelakkan masalah 'tak cukup masa buat kes' yang sering menjadi alasan para pendebat. 

Bukan semua ahli pasukan mampu menyertai perbincangan untuk membina kes. Justeru, penting untuk setiap ahli pasukan mengenal karakter satu sama lain. Terlalu banyak ide untuk kes pasukan sebenarnya tidak membantu kerana hanya ada 30 minit untuk menyiapkan kes dan hujah.

Molek sekali jika ada seorang pendebat yang menjadi pemudah cara atau pengendali perbincangan. Pendebat ini bertanggungjawab menyusun ide dan memastikan perbincangan tidak terlalu meleret.

Namun harus diingat, pengendali perbincangan bukan diktator. Waktu persediaan akan jadi sia-sia jika ada pendebat yang ingin memaksa ide diterima ahli pasukan. Kelak dalam gelanggang perdebatan, ahli pasukan lain hanya akan jadi burung kakak tua yang meluahkan kata tanpa makna.

Andai diserang celahan, mereka kelu tanpa jawapan.

Entri seterusnya akan mengupas strategi kecil namun penting yang boleh diguna pakai oleh pendebat sebagai satu unit pasukan ketika perdebatan berlangsung.

Jumpa lagi!