Showing posts with label Hujah. Show all posts
Showing posts with label Hujah. Show all posts

Thursday, July 28, 2011

Tentang Hujah #2

Ada banyak soalan berkenaan hujah yang sering ditimbulkan oleh para pendebat, khususnya pendebat muda. Kebanyakan berkisar tentang isu yang sama - cara membentuk hujah dengan baik.

Saya percaya bahawa debat tidak memerlukan format yang terlalu ketat/rinci. Sebab itulah, sedikit sukar untuk saya menjawab dengan tepat andai ada yang bertanya - apakah bentuk hujah yang baik?

Pun begitu, tidak pula bermakna hujah boleh dibikin semberono tanpa sebarang pertimbangan.

Pada hemat saya, proses membentuk hujah yang baik bergantung kepada dua perkara; format pertandingan debat, dan jenis usul yang didebatkan.

Hal ini demikian kerana format pertandingan menentukan isi kandungan hujah. Debat Alam Sekitar, misalnya, merupakan pertandingan yang menitikberatkan kejituan fakta yang biasanya melibatkan penerangan saintifik. 

Jenis usul juga perlu diambil kira. Usul perbandingan, misalnya, mempunyai bentuk hujah yang berbeza dengan usul peribahasa dan semantik. Tentang usul, kena tunggu dalam siri lain.

Pembikinan hujah juga berkait rapat dengan proses pembentukan kes. Pun begitu, untuk siri ini, saya masih belum mahu sentuh tentang proses tersebut. Ya, kena tunggu dalam siri lain.

Untuk siri ini, kita telusuri kerangka hujah yang lazim digunakan dalam debat ala parlimen. 

1. Kata Kunci - Huraian - Contoh - Kesimpulan

Ini kerangka hujah paling biasa digunakan. Malah saya masih ingat saat mula-mula menyertai latihan debat, rangkaian perkataan ini perlu dihafal. Baru melekat dalam otak, kata guru debat saya.

Apa maksud kerangka ini?

Hujah didirikan dengan empat komponen. Pertama, kata kunci atau tajuk hujah. Kata kunci boleh hadir dalam pelbagai bentuk. 

Misalnya, bagi usul Pencemaran Alam Salah Industri, hujah boleh dilabelkan dengan kata kunci seperti 'pencemaran air', 'pencemaran udara', dan 'pencemaran tanah'.

Apa pun bentuk kata kunci yang digunakan, molek sekali jika kata kunci berkenaan ringkas dan mudah difahami. Kata kunci yang meleret-leret atau bersifat huraian perlu dielakkan. 

Huraian pula merupakan penerangan terhadap kata kunci yang diberikan. Biasanya, huraian dibentuk daripada kes yang dibina dalam perdebatan. Oleh hal yang demikian, amat penting untuk para pendebat memahami bahawa fakta tidak semestinya huraian dan begitulah sebaliknya.

Misalnya, bagi kes kerajaan, Pencemaran Alam Salah Industri - pencemaran alam berlaku disebabkan industri menjadi penyumbang bahan cemar terbanyak berbanding punca pencemaran lain. (Ini contoh kes yang ringkas, bukan kes yang baik.)

Maka, kata kunci 'pencemaran air' bolehlah dihuraikan dengan menyatakan terdapat banyak punca bagi pencemaran air, tetapi industri merupakan penyumbang terbanyak. Boleh juga disertakan kaitan antara pencemaran air dan industri dari segi penggunaan air dalam industri dan sebagainya.

Fakta hadir selepas huraian. Secara ringkas, fakta merupakan bukti dalam dunia nyata yang menyokong huraian.

Misalnya, dalam usul di atas, pendebat menyenaraikan punca-punca pencemaran air dan peratusannya - seraya menunjukkan bahawa industri merupakan penyumbang terbanyak. Turut disertakan, sebagai contoh, sungai-sungai yang tercemar akibat pembuangan sisa industri.

Fakta berperanan sebagai bukti dan sokongan. Oleh itu, kurang molek andainya fakta dipindahkan terus dari sumber ke gelanggang debat tanpa sebarang penyesuaian.

Fakta mentah tidak akan membantu audiens memahami kes pasukan dengan baik. Misalnya, dalam contoh di atas, boleh saja andai pendebat menyertakan fakta tentang sungai-sungai yang tercemar. Senaraikan sebanyak mungkin. Sertakan juga kawasan laut yang tercemar.

Tetapi, adakah fakta sedemikian MEMBUKTIKAN bahawa pencemaran alam salah industri? Sudah tentu tidak.

Sebab itu, fakta perlu diteliti dan diperhalus. Mesti cari bahagian fakta yang selari dengan kes pasukan, bukan surih-tampal semata-mata.

Akhir sekali, kesimpulan. Kesimpulan boleh muncul dalam pelbagai bentuk. Fungsinya sama, untuk mengingatkan kembali audiens tentang kes pasukan serta hujah yang telah disampaikan.

Biasanya, kesimpulan disampaikan dengan menyatakan kembali premis pasukan bersama ringkasan hujah.

Tentang Hujah #1

Pengetahuan dan kemahiran menyampaikan hujah tidak hanya kritikal untuk pendebat pertama dan kedua semata-mata. Pendebat ketiga pun perlu arif dengan selok-belok hujah.

Kenapa?

Pendebat ketiga tugasnya membidas hujah, maka lebih tajam dan berbisalah setiap bidasan andai pendebat ketiga mendalami proses membina hujah berkesan - segala kelemahan hujah pihak lawan lebih pantas dikesan.

Saya akan cuba mengupas teknik penghujahan dalam beberapa sudut. Untuk siri pertama, seperti biasa, saya kurang gemar untuk berkongsi aspek teknikal.

Kita tinjau terlebih dahulu, apakah perkara yang dianggap hujah oleh kebanyakan pendebat muda (dan sebahagian pendebat utama) tetapi sebaliknya, perkara tersebut bukanlah hujah.

Seperti kata salah seorang guru debat saya, dalam debat amat penting sekali untuk mengesan "what is and what is not".

1. Fakta

Fakta bukan hujah. Fakta hanyalah sebahagian daripada komponen hujah. Tanpa huraian, fakta tidak akan membantu penerangan kes.

Sebab itu, fakta yang sama boleh digunakan untuk menyokong kes kerajaan atau pembangkang, andai cara huraiannya tepat.

Sebab itu jugalah, fakta yang dilambakkan secara pukal dalam bentuk senarai, sekali pun kelihatan mengagumkan - jarang sekali menarik perhatian hakim sekiranya tiada penerangan yang jelas.

Fakta hanya akan menjadi hujah apabila dihuraikan berdasarkan jalan cerita yang telah dibina ketika pasukan membincangkan kes 30 minit sebelum perdebatan.

2. Bidasan

Bidasan bukan hujah. Saya tahu, pasti ada pembaca yang sedang merungut - aku tahulah bidasan bukan hujah, tak payahlah tulis.

Saya faham.

Cuma, banyak juga kesilapan yang dilakukan oleh para pendebat yang gemar sekali membidas hujah pihak lawan dan pada masa yang sama menerangkan kes pasukan sehingga terlupa untuk menyertakan hujah.

Tabiat begini juga wujud sekiranya pendebat buntu dalam usaha mencari hujah sendiri dan kononnya ingin "mengitar semula" hujah pihak lawan secara kebalikan (reverse).

Akhirnya, penerangan yang wujud hanyalah bidasan terhadap hujah pihak lawan tanpa sebarang komponen yang mampu menukar bidasan tersebut kepada hujah pasukan.

3. Pandangan Terhadap Usul

"Anda perlu menerima usul ini kerana...", "Inilah sebab kami di pihak yang benar kerana...", "Jelas sekali kebenaran di pihak pembangkang kerana..." - ini semua slogan-slogan kosong sekiranya pendebat hanya meleteri audiens dengan pandangan peribadi tanpa sebarang pembuktian.

Yang lebih menakjubkan, terdapat beberapa pendebat yang mampu berucap tanpa henti hanya dengan mengulang pendirian yang sama.

Seluruh audiens sudah pun mengetahui bahawa pendebat mewakili pasukan kerajaan atau pembangkang.

Maka terbazirlah masa yang telah disediakan andai pendebat memilih hanya untuk omong kosong dengan menyatakan pendapat tentang usul - walhal pendapat ini boleh saja diperkukuh dengan jalan cerita yang baik dan fakta yang tepat.

4. Analisis Logik

Sama seperti fakta, analisis logik hanyalah komponen hujah. Analisis logik tidak boleh berdiri sendiri sebagai hujah.

Misalnya, amat janggal sekali sekiranya bagi usul "Kita Perlukan Model Ekonomi Baru (MEB)", hujah pihak kerajaan ialah: kita perlukan MEB kerana kita perlukan dasar ekonomi, mana ada negara yang tak ada dasar ekonomi.

Ini contoh sajalah.

Sekali pun analisis logik mudah dihadam oleh audiens, tanpa sebarang bukti, penerangan, dan fakta - analisis logik juga mudah dipatahkan oleh pihak lawan.

Apatah lagi sekiranya pihak lawan gemar memanipulasi logik sehingga kes dan hujah pendebat tenggelam begitu sahaja.