Showing posts with label Umum. Show all posts
Showing posts with label Umum. Show all posts

Thursday, March 22, 2012

Tentang Pasukan #1

Pasti ramai yang kerap mendengar omelan bahawa 'debat bukan pidato berkumpulan'. Pada hemat saya, ini benar. Debat ala parlimen bukan one man show, walau banyak pasukan yang dilihat membawa nama besar seorang pendebat konon sebagai sauh pasukan.

Ini pemikiran sempit yang perlu dibuang. Messi tidak akan berjaya di Barcelona tanpa hantaran tepat Iniesta dan Xavi. Khairul Fahmi Che Mat masih bergelut menjaga gawang akibat kelemahan benteng pertahanan.

Jadi entri ini akan menghuraikan serba sedikit tentang perkara-perkara kecil yang mungkin kita terlepas pandang dalam latihan debat. Maklum saja, latihan lebih tertumpu kepada kupasan fakta/isu, pembinaan kes, kekuatan persembahan, dan sebagainya.

Saya anggap kekuatan pasukan sebagai satu unit yang mempunyai strategi bijak amat penting untuk memastikan kes yang dibawa dilihat konsisten, begitu juga dengan serangan kepada pihak lawan.

1. Disiplin Semasa Waktu Persediaan

Biasanya, debat ala parlimen memberikan tempoh 30 minit untuk setiap pasukan menyiapkan kes dan hujah. Dalam hal ini, pendebat keempat (saya kurang gemar guna istilah pendebat simpanan) perlu biasakan diri untuk memantau masa persediaan. 

Ingatkan ahli pasukan tentang baki masa yang tinggal. Ini mampu mengelakkan masalah 'tak cukup masa buat kes' yang sering menjadi alasan para pendebat. 

Bukan semua ahli pasukan mampu menyertai perbincangan untuk membina kes. Justeru, penting untuk setiap ahli pasukan mengenal karakter satu sama lain. Terlalu banyak ide untuk kes pasukan sebenarnya tidak membantu kerana hanya ada 30 minit untuk menyiapkan kes dan hujah.

Molek sekali jika ada seorang pendebat yang menjadi pemudah cara atau pengendali perbincangan. Pendebat ini bertanggungjawab menyusun ide dan memastikan perbincangan tidak terlalu meleret.

Namun harus diingat, pengendali perbincangan bukan diktator. Waktu persediaan akan jadi sia-sia jika ada pendebat yang ingin memaksa ide diterima ahli pasukan. Kelak dalam gelanggang perdebatan, ahli pasukan lain hanya akan jadi burung kakak tua yang meluahkan kata tanpa makna.

Andai diserang celahan, mereka kelu tanpa jawapan.

Entri seterusnya akan mengupas strategi kecil namun penting yang boleh diguna pakai oleh pendebat sebagai satu unit pasukan ketika perdebatan berlangsung.

Jumpa lagi!

Thursday, July 28, 2011

Selamat Datang

Saya mengambil keputusan untuk memindahkan kesemua entri berkenaan debat dalam Salah Taip ke blog baru ini untuk memudahkan para pembaca yang memfokuskan carian mereka terhadap topik ini.

Semoga Nota Debat dapat memeriahkan lagi kegiatan dunia maya para pencinta seni pengucapan awam, terutamanya debat.

Sekiranya anda mempunyai sebarang soalan untuk saya ulas di sini, boleh alamatkan ke: khairulnizambakeri@gmail.com

Terima kasih dan selamat datang!

Menjelang Debat Perpaduan & Integrasi Nasional 2011

Saya berkesempatan menjengah perlawanan persahabatan debat di antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi MARA (UITM). Tahniah buat UIAM selaku tuan rumah.

Memandangkan perlawanan persahabatan tersebut diadakan sebagai persiapan kedua-dua buah universiti bagi menghadapi beberapa pertandingan terutamanya Debat Perpaduan & Integrasi Nasional (DPIN) 2011 yang akan diadakan pada 22-26 Julai ini di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), saya rasa molek kiranya saya mencoretkan beberapa tips atau petua ringkas yang sedikit sebanyak mampu membantu persediaan para pendebat.

SATU

DPIN merupakan salah satu pertandingan debat bertema, seperti Debat Alam Sekitar dan Debat Kepenggunaan. Justeru, terdapat beberapa ruang lingkup fakta yang wajib diketahui oleh para pendebat. 

Beri fokus pada peristiwa yang mempengaruhi perpaduan di Malaysia bermula dari era Merdeka hingga kini. Berikut merupakan senarai ringkas (tidak komprehensif) berkenaan peristiwa yang relevan dengan pembentukan perpaduan di Malaysia:

  • Pembentukan Parti Perikatan
  • Penggubalan Perlembagaan Persekutuan
  • Tragedi 13 Mei 1969
  • Pembentukan MAGERAN
  • Rukun Negara
  • Pembentukan Jabatan Perpaduan Negara
  • Operasi Lalang (1987)
  • Peristiwa Kampung Rawa (1998)
  • Tuntutan Suqiu (1999)
  • Peristiwa Kampung Medan (2001)
  • Cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (2005)
  • Memorandum 9 menteri (2006)
  • Tuntutan HINDRAF (2007)
  • Isu kalimah Allah (2010)

Perlu diingat, penguasaan fakta dalam isu-isu di atas bukan bermakna kesemua fakta ini perlu menjadi hujah wajib yang dikemukakan dalam setiap usul yang didebatkan. 

Pun begitu, penguasaan fakta dalam bentuk kronologi ini penting untuk memastikan para pendebat memahami perkembangan isu perpaduan di Malaysia agar setiap usul dapat diperhalusi dengan perspektif yang lebih luas dan menyeluruh.

DUA

Perkembangan isu perpaduan juga berkait rapat dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu, kedudukan agama Islam dan Bahasa Melayu, kebebasan beragama, dan sebagainya.

Penting bagi seorang pendebat untuk mengetahui (bahkan menghafal) peruntukan-peruntukan tersebut agar lebih mudah dijadikan rujukan, hujah, malah bidasan dalam sesi debat.

Pemahaman peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan lebih mudah diperoleh sekiranya para pendebat mengkaji cadangan yang dibentangkan oleh Suruhanjaya Reid ketika Perlembagaan Persekutuan mula-mula digubal. 

Beberapa makalah undang-undang berkenaan Perlembagaan Persekutuan yang dikarang oleh pakar-pakar perlembagaan seperti Profesor Shad Salem Faruqi dan Profesor Abdul Aziz Bari boleh dijadikan panduan.

TIGA

Kebanyakan usul DPIN hampir mirip bunyinya, terutama sekali usul-usul yang mengandungi subjek yang sama, misalnya perpaduan, 1Malaysia, integrasi nasional.

Para pendebat perlu berhati-hati agar tidak mengemukakan kes perdebatan yang bersifat hentam keromo atau pukul rata; iaitu satu kes yang digunakan berulang kali walau pun pada usul berbeza.

Hal ini berbahaya kerana setiap usul memerlukan pendekatan yang berbeza. Sekiranya kes sama dibentangkan, pihak lawan akan dapat membaca taktik pasukan dengan lebih mudah. Sekali pun pihak lawan berbeza-beza, para pendebat perlu mengakui bahawa setiap taktik pasukan mudah tersebar sesama pendebat dalam mana-mana kejohanan.

Para hakim juga akan cepat bosan dengan pendekatan yang sama bagi setiap usul, dan ini akan menjejaskan tanggapan hakim terhadap pasukan.

EMPAT

Kita tidak dapat mengelak daripada berbincang dan berdebat tentang beberapa isu sensitif apabila isu perpaduan dibangkitkan.

Justeru, para pendebat perlu matang dalam menilai isu atau hujahan mana yang wajar dikemukakan dalam perdebatan dan isu yang sensitif. Tidak ada sesiapa yang mahu gelanggang DPIN menjadi medan tengkar antara kaum.

Hal ini juga penting kerana panel hakim bukan saja terdiri daripada bekas pendebat, pegawai Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM), mahu pun pegawai Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) - malah pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang sentiasa bertungkus-lumus merancang program berteraskan perpaduan di seluruh negara.

LIMA

DPIN diadakan untuk meraikan kepelbagaian. Tonjolkan kekuatan pasukan anda yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Usah jadikan penguasaan Bahasa Melayu yang sederhana mana-mana ahli pasukan sebagai titik kelemahan.

Sebaliknya, serlahkan kepelbagaian dalam pasukan melalui ucapan alu-aluan (yang ringkas) yang menggambarkan warna-warni dalam pasukan. Hal ini yang menjadikan DPIN unik berbanding pertandingan debat lain.

Ada Apa Dengan Latihan?

Molek juga kalau saya berkongsi dengan para pendebat tentang apakah sebenarnya yang boleh dimanfaatkan dalam sesi latihan? Apakah tabiat yang sering diamalkan oleh para pendebat terdahulu yang telah menjadikan mereka pendebat yang lebih baik dari masa ke masa?

1. Wayar dalam otak

Saya pasti, para pendebat pasti terpesona melihat betapa mudahnya pendebat-pendebat lama mempersembahkan gaya sendiri ketika beraksi di pentas. Effortless. Seolah-olah mereka memang dilahirkan sedemikian rupa.

Tidak sama sekali. 

Mereka menjadikan debat seolah-olah rutin harian kerana mereka tidak pernah gagal untuk menghadiri latihan. Seni pengucapan awam bukannya bakal istimewa yang diperoleh satu dalam sejuta. Debaters are not savants or naturally gifted, except for a few.

Frasa-frasa indah yang terbit lancar dari mulut mereka merupakan hasil ujikaji berpuluh-puluh, malah barangkali beratus-ratus frasa yang diulang cuba dalam sesi latihan.

Jangan malu untuk mencuba dalam sesi latihan. Yang salah ditegur. Yang indah disubur.

Ya, memang benar. Kehebatan mereka bukan keajaiban dan usahlah anda bermimpi untuk menjadi sehebat mereka andai hanya bergoyang kaki dan menunggu masa untuk dipilih masuk ke dalam pasukan. 

Kehebatan mereka sudah dibentuk menjadi sebahagian daripada wayar dalam otak - dek kerana latihan yang tak putus-putus.

Debate is hard work. Period.

2. Biar kecil asal tercapai

Satu lagi aspek dalam latihan yang sering menyebabkan ramai pendebat putus asa, mengaku kalah, dan tunduk pada kepenatan ialah kerana mereka mempunyai matlamat yang terlalu jauh.

Atau lebih malang jika tidak ada arah tuju langsung.

Tidak ada pendebat muda yang tiba-tiba boleh bertukar sehebat Encik Daud Mat Din atau Encik Nizamuddin Hamid dalam masa sehari. Tidak ada. Tidak akan ada.

Tetapkan matlamat yang KHUSUS dan mampu dicapai dalam tempoh masa latihan yang tertentu. Misalnya, untuk latihan hujung minggu ini, saya ingin mengurangkan sebutan 'erm' ketika berdebat.

Atau, saya ingin memenuhi masa tujuh minit. Saya ingin berdiri tegak dan meningkatkan projektil suara. Saya ingin memastikan fakta yang telah digunakan tidak diulang. Saya ingin mengurangkan sebutan berbaur dialek.

Biar khusus dan usaha kita akan ditumpukan sepenuhnya untuk matlamat tersebut. Barulah pendebat akan keluar dari kepompong, menjadi 'pendebat baru' setiap kali tamat sesi latihan.

3. Pendapat bukan format

Ramai pendebat yang rimas dan keliru dengan komentar yang diberikan oleh jurulatih. Semalam, katanya saya perlu menggunakan tempo lebih laju. Hari ini suruh saya perlahan pula.

Minggu lepas katanya saya terlalu garang. Minggu ini suruh saya berkeras pula.

Jangan bimbang. Usah keliru. 

Komentar yang diberikan oleh jurulatih biasanya bersifat responsif dengan persembahan pendebat dan berkaitan juga dengan usul dan mood debat yang wujud ketika sesi latihan tersebut.

Maka, pendebat perlu memahami setiap komen dalam bentuk konteks dan bukannya menyalin setiap butir komen lantas dijadikan senarai peraturan debat. Jangan buat begitu.

Perubahan dan proses tambah baik dalam debat sememangnya subjektif dan kompleks. Sebab itu yang culas datang latihan, akan mendapati diri mereka terawang-awang dan terpisah dengan rakan seangkatan lain - lantaran proses pembentukan karakter debat itu telah terhenti seketika dan perlu dimulakan dari awal.

Bola Sepak & Debat

Mari kita sama-sama memerhati ragam debat dan bola sepak yang pada kebanyakan masa - tidak jauh bezanya.

1 Menyerang atau bertahan?

Dalam bola sepak, ada dua strategi lazim - bertahan atau menyerang. Barisan belakang Itali yang kental dan impenetrable telah berdekad lamanya diiktiraf sebagai punca kemenangan pasukan tersebut di persada antarabangsa. Dalam konteks serangan, jenama possession football atau tiki-taka akhirnya membawa Sepanyol menjulang gelaran juara Eropah dan dunia.

Begitu juga dalam debat institusi pengajian tinggi (IPT). Ada pasukan muncul dengan gandingan pendebat pertama dan kedua yang berkesan - membentangkan kes dan hujah yang sukar ditembusi pihak lawan. Pasukan sebegini biasanya mampu meyakinkan para juri walaupun hadir dengan pendebat ketiga yang tidaklah terlalu berbisa bidasannya.

Ada pula pasukan yang bergantung kepada pendebat ketiga untuk menyapu kembali segala sisa-sisa runtuhan kes yang bercempera melalui adunan bidasan berfakta dan lelucon yang menghiburkan. Atau dalam beberapa kes, lelucon semata-mata sudah mencukupi.

Teknik menyerang juga kadangkala digarap melalui stategi pendebat pertama pembangkang dan/atau pendebat kedua kerajaan merupakan individu yang ampuh dalam membaca pergerakan kes pihak lawan. Serangan awal memastikan pasukan lawan sukar bangkit semula.

2 Pemain bintang

Setiap pasukan dikenali dengan pemain bintang. Pele, Maradona, Zidane, Drogba - contoh klasik individu yang hampir membuatkan sesetengah peminat bola sepak terlupa negara yang diwakili mereka. Pengulas sukan juga tidak berasa janggal untuk memberi label seperti "Maradona & Co" (atau kini Maradona & The Boys) untuk Argentina, misalnya.

Demikian halnya dengan debat. Hampir kesemua pasukan debat IPT mempunyai 'pemain bintang'. Biasanya, soalan "Kau lawan siapa tadi?" akan disambut dengan "Pendebat X" dan bukannya "Universiti ABC".

Strategi pasukan akan bertumpu kepada pemain bintang. Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo semestinya akan dikawal rapi malah sesetengah pasukan akan menugaskan seorang pemain khusus sebagai marker - yang mengekori mereka di segenap inci padang.

Pendebat bintang juga kerap menjadi perhatian. Pasukan lawan biasanya menyusun strategi untuk tidak mengambil celahan yang diberikan oleh pendebat ini - barangkali kesan celahan ampuh yang dibimbangkan. Tidak ketinggalan, serangan psikologi untuk memindahkan kelemahan dan kesilapan pihak lawan kepada pendebat bintang untuk 'ditanggung' seorang diri. 

3 Padang dan pentas

Teknik dive amat masyhur dalam kalangan pemain bola sepak untuk mendapatkan sepakan percuma atau penalti bagi pasukan. Malah, pemain bintang seperti Robert Pires dan Cristiano Ronaldo turut dilabel sebagai 'tukang terjun' yang berkesan dalam karier bola sepak mereka.

Teknik ini boleh menyebabkan pemain berkenaan akan dikenakan kad kuning, tetapi hanya sekiranya dikesan oleh pengadil. Jika tidak, pengadil akan mentafsirkan pemain tersebut 'jatuh' akibat tackle yang dilakukan oleh pasukan lawan. Wisel ditiup. Sepakan percuma atau penalti.

Pendebat juga ada banyak strategi dive. Antara yang paling kerap digunakan ialah meyakinkan pihak hakim bahawa ada hujah yang tidak dibidas oleh pihak lawan - walaupun hal yang sebaliknya berlaku. Bagi hakim yang kurang tajam memorinya atau lupa membuat nota perdebatan, tuduhan ini diterima.

Ada pendebat yang mengambil langkah lebih ekstrem dengan mencipta drama dalam debat. Kononnya pihak lawan telah melempar tohmah dan maki hamun kepadanya - demi menagih simpati pihak hakim di samping menjalankan pembunuhan karakter terhadap pihak lawan.

4 Strategi saat akhir

30 saat berbaki sebelum pengadil meniup wisel. Pasukan ketinggalan 0-1. Apakah arahan pengurus? Sudah pasti untuk mengerah semua pemain (termasuk penjaga gol) agar menyerbu gawang pihak lawan bagi mendapatkan gol dengan apa jua cara sekali pun. Apa jua cara.

Pasukan yang mendahului juga perlu membalas dengan strategi berkesan. Gantikan penyerang dengan bek. Susun pemain di hadapan gawang dengan rapi saat sepakan sudut atau sepakan percuma diambil oleh seteru. Jangan biarkan gol dibolosi dengan apa jua cara sekali pun. Apa jua cara.

Sesi penggulungan dalam debat kerap menyaksikan pendebat tampil dengan strategi saat akhir yang rencam. Ada yang berpantun seloka, berdrama, keluar dari ruang meja dan berdiri tegak di tengah-tengah gelanggang debat, melabelkan sesi sebagai 'empat minit terakhir' (atau 240 saat, atau 1/15 jam - yang mana-manalah) bagai wasiat bunyinya, timbang tara, timbang kati hujah, dan macam-macam lagi.

Raih perhatian juri dengan apa jua cara sekali pun. Apa jua cara.