Showing posts with label Penggulungan. Show all posts
Showing posts with label Penggulungan. Show all posts

Thursday, July 28, 2011

Empat Minit Terakhir #4

(Bahagian 1 | 2 | 3)

Ada beberapa tabiat yang boleh diamalkan oleh para pendebat sepanjang perdebatan berlangsung untuk menghasilkan ucapan penggulungan yang baik.

1. Bina ucapan penggulungan dari mula

Sekiranya pasukan sudah menetapkan pendebat yang bakal menyampaikan ucapan penggulungan, molek sekali untuk pendebat tersebut mempunyai mindset yang tepat.

Bersedia dari awal. Setiap definisi, kes, hujah, fakta, dan bidasan yang dikemukakan oleh pihak lawan terus dicatat dalam bentuk yang boleh digunakan dalam penggulungan. 

Kalau hendak disusun saat sesi penggulungan hampir, tentulah cacamarba jadinya. Latih minda untuk meringkaskan kes pihak lawan sejurus selepas pendebat mendengarnya.

Sentiasa timbulkan persoalan, misalnya, bagaimana untuk ringkaskan kes ini? Penerangan ini mewakili bahagian kes yang mana? Pendebat pasukan lawan yang mana lebih banyak bertahan/menyerang?

Kemahiran mendengar, berfikir, dan mencatat dalam masa yang sama WAJIB dikuasai oleh semua pendebat. Salin dan bentuk ucapan penggulungan seawal ucapan pendebat pertama.

2. Pengurusan catatan

Ya, tidak ada juri yang akan memeriksa kertas catatan pendebat. Malah, tidak ada markah pun. Namun demikian, pengurusan catatan amat penting dalam menyiapkan ucapan penggulungan.

Saya cadangkan agar kerangka ucapan penggulungan dicatat pada sehelai kertas sahaja. Lebih banyak kertas, lebih banyak masa yang bakal pendebat gunakan untuk membelek-belek.

Buang masa. Empat minit terlalu mahal untuk dibazirkan sebegitu rupa. 

Andai pendebat perlu mengulang sebut hujah ahli pasukan, salin kata kunci (atau apa saja label yang pendebat berikan untuk kepala/tajuk hujah) dan elakkan daripada menghimpun kertas-kertas hujah. Tindakan sedemikian bakal mengelirukan pendebat sewaktu sesi penggulungan.

Paling penting, tulis ucapan penggulungan di minda pendebat. Bayangkan aliran ucapan tersebut. Aksara pada kertas hanya berfungsi sebagai pembantu untuk mencetuskan ide sewaktu sesi penggulungan.

3. Saring, saring, dan saring

Saya sudah nyatakan dalam entri terdahulu, dan saya ulang sekali lagi. Empat minit terlalu singkat. Jangan puaskan nafsu debat dengan menyumbat semua isi dan bidasan dalam ucapan penggulungan. Pasti tidak sempat.

Yang PALING penting sahaja dimasukkan dalam ucapan penggulungan. Elakkan daripada menyertakan contoh-contoh kecil dalam perdebatan yang tidak membawa kesan. 

Kalau ada analogi yang dibawa oleh pasukan lawan, balaslah dalam ucapan penggulungan hanya sekiranya analogi tersebut jelas dan MEMBERI KESAN kepada kes pasukan.

4. Bincang

Lebih banyak otak, lebih baik. Tidak kiralah sama ada anda pendebat berstatus bintang atau pendebat muda, percayalah pada rakan sepasukan.

Minta ide mereka apabila menyiapkan ucapan penggulungan. Barangkali ada sudut pandang mereka yang lebih tepat dalam memahami hujah dan bidasan pihak lawan.

Pendebat pertama dan kedua (sepatutnya) boleh memberi pandangan mendalam mengenai hujah mereka, manakala pendebat ketiga (sepatutnya) lebih peka dengan hujah lawan.

Lebih mudah jika setiap ahli pasukan ditugaskan sebelum perdebatan bermula untuk mencatat mana-mana bahagian ucapan pihak lawan yang dikhuatiri tidak sempat dicatat oleh penggulung.

Jangan pernah lupa, debat merupakan sukan minda berpasukan. Anda tidak keseorangan dalam gelanggang.

Empat Minit Terakhir #3

(Bahagian 1 | 2)

Apa yang perlu ada dalam sebuah ucapan penggulungan?

Saya pasti ramai pendebat sudah arif dan tahu jawapannya. Dalam sesi latihan pun, pasti jurulatih ada menerangkan soal penggulungan.

Secara peribadi, saya menganggap ucapan penggulungan tidak mempunyai sebarang format khusus yang ketat. 

Yang ada cuma peraturan-peraturan tertentu, misalnya, waktu ucapan penggulungan diperuntukkan selama empat minit bagi setiap pasukan.

Pun begitu, terdapat beberapa komponen asas yang perlu ada dalam setiap ucapan penggulungan. Nama atau jenama mungkin berbeza, tapi saya simpulkan komponen-komponen tersebut kepada tiga, iaitu:
  1. Rumusan kes pasukan
  2. Rumusan kes pihak lawan
  3. Rumusan perdebatan
Kandungan setiap komponen juga tidak ada peraturan ketat. Berkesan atau tidak sesebuah ucapan penggulungan, bergantung sepenuhnya pada kreativiti pendebat.

Yang saya nukilkan di sini, hanya cadangan. Kalau sudi, boleh cuba. 

Dalam entri kali ini, saya memilih struktur paling konvensional dalam penggulungan iaitu menyampaikan ketiga-ketiga komponen di atas mengikut susunan.

Struktur ini mudah dan menjadi pilihan majoriti pendebat. Saya galakkan agar pendebat muda yang baru terjun ke arena penggulungan agar menggunakan struktur asas ini sebelum menguji teknik lain. 

Apakah kandungan bagi setiap komponen berkenaan?

1. Rumusan kes pasukan

Ingat, rumusan bukan ulangan semula. Dalam sebuah karangan, misalnya, perenggan terakhir tidak memuntahkan semula semua isi. 

Biasanya, komponen ini mengandungi kronologi pembinaan dan pembuktian kes dan hujah. Jalan cerita berdasarkan masa.

Imbas kembali bahagian-bahagian yang menjadi kekuatan pasukan. Ringkaskan. Terangkan dalam bentuk "ini kekuatan kami" berbanding "ini yang telah kami sampaikan".

Rumusan yang baik juga biasanya membantu hakim untuk menyingkirkan segala ragu tentang kes dan hujah pasukan. 

Kenal pasti titik kelemahan dalam kes dan hujah pasukan yang menjadi tumpuan serangan pihak lawan sepanjang perdebatan.

Elakkan membalas serangan ini dengan cara sama yang dilakukan dalam sesi hujah/bidasan. Teknik "kami sudah jawab tadi" bersifat defensif dan menggambarkan ketandusan idea.

Fikir cara lain. Sudut lain. Inilah sukar dan nikmatnya debat, untuk tidak berhenti berfikir selagi masih dalam gelanggang.

2. Rumusan kes pihak lawan

Ucapan penggulungan ialah proses pembandingan. Dalam rumusan kes pasukan, pendebat menyenaraikan kekuatan. 

Maka jelaslah dalam rumusan kes pihak lawan, pendebat perlu mendedahkan kelemahan pihak lawan.

Soalan klise: kelemahan yang bagaimana?

Biasanya, titik kelemahan pihak lawan lebih mudah dianalisis sekiranya pendebat mengimbas semula serangan yang telah dilakukan ke atas mereka.

Apakah respon pihak lawan terhadap serangan tersebut? Adakah penerangan mereka telah mengubah struktur kes dan hujah? Wujudkah percanggahan antara mereka?

Ringkaskan dalam bentuk kronologi. Lebih molek dan ampuh untuk merumuskan kes pihak lawan dalam bentuk "ketika inilah mereka telah silap" berbanding "ini yang mereka telah sampaikan".

Perah otak untuk mencari apakah niat di sebalik kes pihak lawan. Kaji semula usul. 

Cadangkan kepada audiens pendekatan sebenar yang perlu digunakan oleh pihak lawan dan kesilapan mereka dalam mematuhi pendekatan tersebut.

3. Rumusan perdebatan

Timbang tara. Analisis kemandirian kes. Pemeriksaan semula. Macam-macam nama diberikan untuk komponen terakhir ini.

Secara asas, rumusan perdebatan merupakan proses menyampaikan titik temu kedua-dua komponen sebelumnya: rumusan kes pasukan dan rumusan kes pihak lawan. 

Sungguh molek andai para pendebat mampu membantu audiens memahami tumpuan kedua-dua pasukan dalam gelanggang.

Definisi/persoalan/kenyataan/hujah/fakta/analogi/bidasan manakah yang belum selesai hingga ke akhir debat?

Apakah penilaian sebenar yang ingin dilakukan oleh usul ini? Misalnya, pada akhir perdebatan, "audiens akan memahami sama ada..." atau "langkah terbaik untuk menangani masalah ini ialah...". Bergantung pada usul.

Adakah penilaian tersebut berlaku dalam perdebatan? Jika tidak, di manakah silapnya?

Kesemua persoalan di atas perlu diringkaskan dengan bijak oleh pendebat.

Ingat, pilih hanya yang PALING PENTING untuk dimuatkan dalam ucapan penggulungan.

Bincang dengan ahli pasukan. Saring dan sunting. Saring dan sunting lagi. Jangan berhenti berfikir. 

Bukankah ucapan penggulungan itu --- empat minit terakhir?

Empat Minit Terakhir #2

(Bahagian: 1)

Dalam siri kedua, saya masih lagi belum mahu menyentuh aspek teknikal.

Sebab? Saya bukanlah arif benar dalam bidang ucapan penggulungan. Jadi, mesti berhati-hati dan masih menyusun kandungan untuk itu. Dengan izin Tuhan, akan dimuat naik jua nanti.

Kali ini saya mahu kongsi pandangan tentang perkara-perkara yang tidak perlu dilakukan ketika ucapan penggulungan. Kalau boleh, elakkan.

Janganlah pula anggap senarai ini sebagai larangan keras. Kalau buat, maka pasukan tewas. Kalau buat, maka haram. Jangan.

Ini cuma peringatan hasil pemerhatian saya. Tindakan-tindakan ini secara umumnya hanya membazir masa dan tidak memberi kesan kepada ucapan penggulungan.

Lebih mengerikan sekiranya tindakan ini mengubah pandangan hakim pada saat-saat akhir yang sudah pun (sebenarnya) berpihak kepada pasukan anda sebelum ucapan penggulungan.

1. Melayan lelucon sisipan

Pendebat perlu bijak membezakan antara serangan pihak lawan yang mendedahkan kelemahan kes pasukan dengan camdik dan jenaka. 

Janganlah membuang masa melayan sindir sinis pihak lawan yang barangkali mengejek rupa paras atau cara pemakaian pendebat.

Ini hanya membuang masa dan hampir tiada sebarang merit kepada kes pasukan. Teguran ini saya dahulukan kerana kerap benar dilakukan oleh para pendebat belakangan ini.

2. Mengulang fakta demi fakta

Yakinlah bahawa panel hakim telah mendengar dan (kebanyakannya) mencatat segala fakta yang telah pendebat kemukakan ketika sesi penghujahan. 

Andai yang disampaikan dalam empat minit terakhir saling tak tumpah dengan apa yang telah dilakukan pada fasa awal perlawanan, maka di manakah tarikan ucapan penggulungan tersebut?

Yang mahu didengar oleh pihak hakim ialah rumusan. Bagaimanakah fakta-fakta ini berjaya mendirikan kes pasukan? Apakah pula kegagalan pihak lawan dalam menyerangnya?

3. Bermadah pujangga ada batasnya

Kekuatan bahasa tidak boleh dipandang remeh dalam debat Bahasa Melayu. Pun begitu, empat minit terakhir terlalu singkat.

Hentikanlah tabiat menghabiskan seminit pertama dengan kias ibarat alam semula jadi dan apa-apa unsur yang anda mahu kaitkan. Buang masa.

Melainkan, anda mempunyai kemahiran luar biasa untuk melarik langgam paling indah untuk menggambarkan keseluruhan senario debat dalam bentuk puisi satu minit.

Ingat, bahasa indah tidak semestinya diwakilkan dengan komponen sastera semata-mata. Bahasa indah juga boleh wujud dengan diksi dan kecindan yang kena pada waktunya.

4.  Usah taklid

Frasa seperti "timbang tara" dan "kemandirian kes" sudah menjadi basahan dalam ucapan penggulungan. Namun tahukah para pendebat apakah maksud frasa-frasa tersebut?

Para pendebat terdahulu bersusah payah mencipta teknik penggulungan berkesan dengan harapan dapat meningkatkan kematangan debat di samping mewujudkan nilai tambah dalam kemahiran bertikam hujah.

Justeru, amat memalukan sekiranya frasa-frasa ini digunakan semberono tanpa benar-benar memahami tuntutan di sebalik teknologi debat ini.

Boleh guna, cuma bukan membabi buta. Mesti kaji dan faham. Mesti uji dan hadam.

Amat hiba sekali apabila ada pendebat yang faham timbang tara sebagai, "Hujah kami tidak dibidas. Hujah mereka kami bidas semua. Nah, 3-0. Timbang tara? Kami lebih berat." 

Ini amat mengaibkan.

5. Risiko tinggi, pulangan belum tentu besar

Empat minit terakhir tidak boleh dihabiskan dengan menguji teori pelaburan: high risk, high return. Tidak boleh.

Para pendebat tersohor yang mangli dengan pentingnya ucapan penggulungan sekali pun jarang-jarang menggunakan sebarang ayat bujukan yang berisiko tinggi.

Antara kaedah yang membolehkan pendebat mengesan sama ada ayat bujukan yang akan digunakan berisiko tinggi atau tidak: ada lintasan hati atau firasat pendebat yang mengatakan, "Kalau hakim tidak faham ayat ini, habislah."

Maka, jangan gunakan. Jangan perjudikan nasib pasukan.

Atau, pendebat ingin melakukan ucapan pertimbangan moral pada hujung penggulungan seperti, "Jika usul perdebatan ini diterima...", namun sedar bahawa fasa tersebut akan menimbulkan bisik-bisik curiga dan kurang selesa dalam kalangan audiens - maka elakkanlah.

Empat Minit Terakhir #1

Itulah frasa paling klise yang digunakan untuk menggambarkan sesi ucapan terakhir debat ala parlimen. Empat minit terakhir. Klise, tapi tepat. 

Oleh hal yang demikian, amat penting bagi para pendebat untuk menggunakan empat minit terakhir ini sebaik mungkin bagi meyakinkan pihak hakim bahawa kes dan hujah pasukan anda lebih baik daripada pasukan lawan.

Dalam perlawanan yang sengit dan genting, terutama apabila kedua-dua pasukan sama handal - sesi penggulungan inilah yang biasanya dijadikan penentu ukur pemenang.

Banyak juga pasukan yang kelihatan nyawa-nyawa ikan dalam sesi penghujahan dan bidasan - kembali bernyawa sesudah ucapan penggulungan. 

Terlalu banyak yang ingin diceritakan mengenai ucapan penggulungan. Teknik, taktik, mantik. Terlalu banyak. 

Namun dalam siri pertama ini, saya tinggalkan seketika semua itu.

Saya ingin kongsi tentang ikon sesi penggulungan. Ya, pendebat-pendebat yang mempunyai karakter unik yang ampuh. Empat minit terakhir diadun rapi agar para hakim tidak ada fikiran kedua. Pasukan ini perlu menang.

Oh ya, ini semestinya pendapat peribadi saya. Mereka ialah para penggulung yang paling saya kagumi. Hingga kini. Barangkali ada yang lebih terampil, namun tidak sempat saya temukan di gelanggang atau belum pernah saya tontoni. 

Buat pendebat muda, banyak sekali karakter mereka yang boleh kalian teladani.

Yusfarizal Yussoff (UIAM)

Salah seorang daripada guru debat saya.

Struktur - inilah salah satu perkataan paling tepat bagi menggambarkan ucapan penggulungan beliau. Hakim seolah-olah tidak perlu menulis apa-apa. 

Setiap minit dicerakin rapi. Mendengar ucapan penggulungan beliau sama seperti mendengar pembentangan - dengan paparan multimedia.

Beliau terlalu arif membahagikan serangan dan pertahanan dalam komponen-komponen kecil yang mudah dihadam.

Perkataan-perkataan yang digunakan oleh Encik Yusfarizal begitu mudah, namum gramatis.

Sekali-sekala diadun dengan langgam bahasa indah, namun tidak pula masa dibazirkan demi sepotong puisi atau syair. Tidak.

Encik Yusfarizal membantu hakim melihat kes pasukan dalam bentuk paling ringkas dan sistematik. Beliau membuktikan sesi penggulungan bukan waktu untuk pendebat tenggelam dalam keasyikan sendiri, tetapi memimpin tangan audiens dan berjalan bersama-sama ke tempat yang dituju.

Mohd Daud Mat Din (UIAM)

Rakan karib saya.

No stone left unturned - ini frasa untuk karakter penggulungan Encik Daud. Beliau mempunyai tabiat mencatat setiap ide yang terlintas atau yang diberi oleh rakan sepasukan sebelum sesi penggulungan bermula. SETIAP ide. Semuanya.

Kemudian, beliau akan membahagikan timbunan ide serangan dan pertahanan ini kepada beberapa kategori.

Fakta bertindan, isi yang kurang diperhatikan hakim, bidasan remeh, lelucon sampingan - kesemuanya dipadam. Kalau pun ada yang ingin disampaikan, diselit sedikit saja.

Yang lain akan dikelompokkan oleh beliau mengikut tema sentimen. Biasanya ada 'cerita besar' di sebalik penggulungan beliau. Kesemua kelompok ini akan diterangkan sehingga kembali pada tema tersebut.

Temanya? Sepanjang debat berlangsung, pasti ada hanya SATU soalan utama yang ditolak darab oleh kedua-dua pasukan. Proses mencari soalan inilah - paling sukar.

Diyana Sulaiman (UITM)

Pendebat wanita nombor satu dalam senarai saya. Tanpa ragu. Aura bujukan dan olak perasaan beliau dalam ucapan penggulungan - hampir mustahil dipadam.

Jarang sekali beliau menggulung kes pasukan dengan isi yang dicerakin rapi, jauh sekali mengulang sebut hujah dan fakta yang telah dihambur ketika sesi penghujahan.

Beliau tampil dalam sesi penggulungan sebagai karakter paling dipercayai. Pertama, sebagai rakan paling karib yang berbual mesra - menerangkan kemelut dalam debat satu persatu.

Atau kedua, sebagai guru paling tabah - tegas dan jelas menjawab setiap serangan pihak lawan sambil memberi faham tentang kes pasukan.

Cik Diyana amat mementingkan 'emosi semasa' audiens, terutamanya hakim. Saat beliau bangkit berbicara, beliau seolah-olah tahu kedudukan tanggapan hakim terhadap perlawanan.

Andai bersama-sama pasukan, akan beliau suburkan. Andai masih timbul syak dan musykil, akan beliau kuburkan.

Abdul Hadi Abdul Apet (USM)

Jika anda mencari karakter penggulung yang santai dan berbisa - inilah antara model paling tepat. Senyum tenang dan bahasa mudah beliau dalam penggulungan membikin pasukan lawan tergamam.

Encik Abdul Hadi menghampiri audiens sebagai orang biasa. Tidak ada kosa kata bombastik, tidak ada degar suara memecah suasana. Tidak ada.

Teknik 'bercerita' dalam penggulungan yang digunakan beliau amat langka sekali ditemukan dalam kalangan pendebat masa kini.

Mendengar penggulungan Encik Abdul Hadi seolah-olah menonton ulang tayang sebuah drama. Ya, bukan ratib hujah dan fakta, tetapi sebuah cerita.

Beliau mengadun sudut teknikal penggulungan dalam bahasa mudah dan analogi yang benar-benar analogi. Bukan sekadar kecindan bahasa, tetapi penerangan untuk sesiapa sahaja.

Saya mencadangkan agar para pendebat mendapatkan video-video debat mereka. Tonton dan belajar.