Thursday, July 28, 2011

Empat Minit Terakhir #3

(Bahagian 1 | 2)

Apa yang perlu ada dalam sebuah ucapan penggulungan?

Saya pasti ramai pendebat sudah arif dan tahu jawapannya. Dalam sesi latihan pun, pasti jurulatih ada menerangkan soal penggulungan.

Secara peribadi, saya menganggap ucapan penggulungan tidak mempunyai sebarang format khusus yang ketat. 

Yang ada cuma peraturan-peraturan tertentu, misalnya, waktu ucapan penggulungan diperuntukkan selama empat minit bagi setiap pasukan.

Pun begitu, terdapat beberapa komponen asas yang perlu ada dalam setiap ucapan penggulungan. Nama atau jenama mungkin berbeza, tapi saya simpulkan komponen-komponen tersebut kepada tiga, iaitu:
  1. Rumusan kes pasukan
  2. Rumusan kes pihak lawan
  3. Rumusan perdebatan
Kandungan setiap komponen juga tidak ada peraturan ketat. Berkesan atau tidak sesebuah ucapan penggulungan, bergantung sepenuhnya pada kreativiti pendebat.

Yang saya nukilkan di sini, hanya cadangan. Kalau sudi, boleh cuba. 

Dalam entri kali ini, saya memilih struktur paling konvensional dalam penggulungan iaitu menyampaikan ketiga-ketiga komponen di atas mengikut susunan.

Struktur ini mudah dan menjadi pilihan majoriti pendebat. Saya galakkan agar pendebat muda yang baru terjun ke arena penggulungan agar menggunakan struktur asas ini sebelum menguji teknik lain. 

Apakah kandungan bagi setiap komponen berkenaan?

1. Rumusan kes pasukan

Ingat, rumusan bukan ulangan semula. Dalam sebuah karangan, misalnya, perenggan terakhir tidak memuntahkan semula semua isi. 

Biasanya, komponen ini mengandungi kronologi pembinaan dan pembuktian kes dan hujah. Jalan cerita berdasarkan masa.

Imbas kembali bahagian-bahagian yang menjadi kekuatan pasukan. Ringkaskan. Terangkan dalam bentuk "ini kekuatan kami" berbanding "ini yang telah kami sampaikan".

Rumusan yang baik juga biasanya membantu hakim untuk menyingkirkan segala ragu tentang kes dan hujah pasukan. 

Kenal pasti titik kelemahan dalam kes dan hujah pasukan yang menjadi tumpuan serangan pihak lawan sepanjang perdebatan.

Elakkan membalas serangan ini dengan cara sama yang dilakukan dalam sesi hujah/bidasan. Teknik "kami sudah jawab tadi" bersifat defensif dan menggambarkan ketandusan idea.

Fikir cara lain. Sudut lain. Inilah sukar dan nikmatnya debat, untuk tidak berhenti berfikir selagi masih dalam gelanggang.

2. Rumusan kes pihak lawan

Ucapan penggulungan ialah proses pembandingan. Dalam rumusan kes pasukan, pendebat menyenaraikan kekuatan. 

Maka jelaslah dalam rumusan kes pihak lawan, pendebat perlu mendedahkan kelemahan pihak lawan.

Soalan klise: kelemahan yang bagaimana?

Biasanya, titik kelemahan pihak lawan lebih mudah dianalisis sekiranya pendebat mengimbas semula serangan yang telah dilakukan ke atas mereka.

Apakah respon pihak lawan terhadap serangan tersebut? Adakah penerangan mereka telah mengubah struktur kes dan hujah? Wujudkah percanggahan antara mereka?

Ringkaskan dalam bentuk kronologi. Lebih molek dan ampuh untuk merumuskan kes pihak lawan dalam bentuk "ketika inilah mereka telah silap" berbanding "ini yang mereka telah sampaikan".

Perah otak untuk mencari apakah niat di sebalik kes pihak lawan. Kaji semula usul. 

Cadangkan kepada audiens pendekatan sebenar yang perlu digunakan oleh pihak lawan dan kesilapan mereka dalam mematuhi pendekatan tersebut.

3. Rumusan perdebatan

Timbang tara. Analisis kemandirian kes. Pemeriksaan semula. Macam-macam nama diberikan untuk komponen terakhir ini.

Secara asas, rumusan perdebatan merupakan proses menyampaikan titik temu kedua-dua komponen sebelumnya: rumusan kes pasukan dan rumusan kes pihak lawan. 

Sungguh molek andai para pendebat mampu membantu audiens memahami tumpuan kedua-dua pasukan dalam gelanggang.

Definisi/persoalan/kenyataan/hujah/fakta/analogi/bidasan manakah yang belum selesai hingga ke akhir debat?

Apakah penilaian sebenar yang ingin dilakukan oleh usul ini? Misalnya, pada akhir perdebatan, "audiens akan memahami sama ada..." atau "langkah terbaik untuk menangani masalah ini ialah...". Bergantung pada usul.

Adakah penilaian tersebut berlaku dalam perdebatan? Jika tidak, di manakah silapnya?

Kesemua persoalan di atas perlu diringkaskan dengan bijak oleh pendebat.

Ingat, pilih hanya yang PALING PENTING untuk dimuatkan dalam ucapan penggulungan.

Bincang dengan ahli pasukan. Saring dan sunting. Saring dan sunting lagi. Jangan berhenti berfikir. 

Bukankah ucapan penggulungan itu --- empat minit terakhir?

Empat Minit Terakhir #2

(Bahagian: 1)

Dalam siri kedua, saya masih lagi belum mahu menyentuh aspek teknikal.

Sebab? Saya bukanlah arif benar dalam bidang ucapan penggulungan. Jadi, mesti berhati-hati dan masih menyusun kandungan untuk itu. Dengan izin Tuhan, akan dimuat naik jua nanti.

Kali ini saya mahu kongsi pandangan tentang perkara-perkara yang tidak perlu dilakukan ketika ucapan penggulungan. Kalau boleh, elakkan.

Janganlah pula anggap senarai ini sebagai larangan keras. Kalau buat, maka pasukan tewas. Kalau buat, maka haram. Jangan.

Ini cuma peringatan hasil pemerhatian saya. Tindakan-tindakan ini secara umumnya hanya membazir masa dan tidak memberi kesan kepada ucapan penggulungan.

Lebih mengerikan sekiranya tindakan ini mengubah pandangan hakim pada saat-saat akhir yang sudah pun (sebenarnya) berpihak kepada pasukan anda sebelum ucapan penggulungan.

1. Melayan lelucon sisipan

Pendebat perlu bijak membezakan antara serangan pihak lawan yang mendedahkan kelemahan kes pasukan dengan camdik dan jenaka. 

Janganlah membuang masa melayan sindir sinis pihak lawan yang barangkali mengejek rupa paras atau cara pemakaian pendebat.

Ini hanya membuang masa dan hampir tiada sebarang merit kepada kes pasukan. Teguran ini saya dahulukan kerana kerap benar dilakukan oleh para pendebat belakangan ini.

2. Mengulang fakta demi fakta

Yakinlah bahawa panel hakim telah mendengar dan (kebanyakannya) mencatat segala fakta yang telah pendebat kemukakan ketika sesi penghujahan. 

Andai yang disampaikan dalam empat minit terakhir saling tak tumpah dengan apa yang telah dilakukan pada fasa awal perlawanan, maka di manakah tarikan ucapan penggulungan tersebut?

Yang mahu didengar oleh pihak hakim ialah rumusan. Bagaimanakah fakta-fakta ini berjaya mendirikan kes pasukan? Apakah pula kegagalan pihak lawan dalam menyerangnya?

3. Bermadah pujangga ada batasnya

Kekuatan bahasa tidak boleh dipandang remeh dalam debat Bahasa Melayu. Pun begitu, empat minit terakhir terlalu singkat.

Hentikanlah tabiat menghabiskan seminit pertama dengan kias ibarat alam semula jadi dan apa-apa unsur yang anda mahu kaitkan. Buang masa.

Melainkan, anda mempunyai kemahiran luar biasa untuk melarik langgam paling indah untuk menggambarkan keseluruhan senario debat dalam bentuk puisi satu minit.

Ingat, bahasa indah tidak semestinya diwakilkan dengan komponen sastera semata-mata. Bahasa indah juga boleh wujud dengan diksi dan kecindan yang kena pada waktunya.

4.  Usah taklid

Frasa seperti "timbang tara" dan "kemandirian kes" sudah menjadi basahan dalam ucapan penggulungan. Namun tahukah para pendebat apakah maksud frasa-frasa tersebut?

Para pendebat terdahulu bersusah payah mencipta teknik penggulungan berkesan dengan harapan dapat meningkatkan kematangan debat di samping mewujudkan nilai tambah dalam kemahiran bertikam hujah.

Justeru, amat memalukan sekiranya frasa-frasa ini digunakan semberono tanpa benar-benar memahami tuntutan di sebalik teknologi debat ini.

Boleh guna, cuma bukan membabi buta. Mesti kaji dan faham. Mesti uji dan hadam.

Amat hiba sekali apabila ada pendebat yang faham timbang tara sebagai, "Hujah kami tidak dibidas. Hujah mereka kami bidas semua. Nah, 3-0. Timbang tara? Kami lebih berat." 

Ini amat mengaibkan.

5. Risiko tinggi, pulangan belum tentu besar

Empat minit terakhir tidak boleh dihabiskan dengan menguji teori pelaburan: high risk, high return. Tidak boleh.

Para pendebat tersohor yang mangli dengan pentingnya ucapan penggulungan sekali pun jarang-jarang menggunakan sebarang ayat bujukan yang berisiko tinggi.

Antara kaedah yang membolehkan pendebat mengesan sama ada ayat bujukan yang akan digunakan berisiko tinggi atau tidak: ada lintasan hati atau firasat pendebat yang mengatakan, "Kalau hakim tidak faham ayat ini, habislah."

Maka, jangan gunakan. Jangan perjudikan nasib pasukan.

Atau, pendebat ingin melakukan ucapan pertimbangan moral pada hujung penggulungan seperti, "Jika usul perdebatan ini diterima...", namun sedar bahawa fasa tersebut akan menimbulkan bisik-bisik curiga dan kurang selesa dalam kalangan audiens - maka elakkanlah.

Empat Minit Terakhir #1

Itulah frasa paling klise yang digunakan untuk menggambarkan sesi ucapan terakhir debat ala parlimen. Empat minit terakhir. Klise, tapi tepat. 

Oleh hal yang demikian, amat penting bagi para pendebat untuk menggunakan empat minit terakhir ini sebaik mungkin bagi meyakinkan pihak hakim bahawa kes dan hujah pasukan anda lebih baik daripada pasukan lawan.

Dalam perlawanan yang sengit dan genting, terutama apabila kedua-dua pasukan sama handal - sesi penggulungan inilah yang biasanya dijadikan penentu ukur pemenang.

Banyak juga pasukan yang kelihatan nyawa-nyawa ikan dalam sesi penghujahan dan bidasan - kembali bernyawa sesudah ucapan penggulungan. 

Terlalu banyak yang ingin diceritakan mengenai ucapan penggulungan. Teknik, taktik, mantik. Terlalu banyak. 

Namun dalam siri pertama ini, saya tinggalkan seketika semua itu.

Saya ingin kongsi tentang ikon sesi penggulungan. Ya, pendebat-pendebat yang mempunyai karakter unik yang ampuh. Empat minit terakhir diadun rapi agar para hakim tidak ada fikiran kedua. Pasukan ini perlu menang.

Oh ya, ini semestinya pendapat peribadi saya. Mereka ialah para penggulung yang paling saya kagumi. Hingga kini. Barangkali ada yang lebih terampil, namun tidak sempat saya temukan di gelanggang atau belum pernah saya tontoni. 

Buat pendebat muda, banyak sekali karakter mereka yang boleh kalian teladani.

Yusfarizal Yussoff (UIAM)

Salah seorang daripada guru debat saya.

Struktur - inilah salah satu perkataan paling tepat bagi menggambarkan ucapan penggulungan beliau. Hakim seolah-olah tidak perlu menulis apa-apa. 

Setiap minit dicerakin rapi. Mendengar ucapan penggulungan beliau sama seperti mendengar pembentangan - dengan paparan multimedia.

Beliau terlalu arif membahagikan serangan dan pertahanan dalam komponen-komponen kecil yang mudah dihadam.

Perkataan-perkataan yang digunakan oleh Encik Yusfarizal begitu mudah, namum gramatis.

Sekali-sekala diadun dengan langgam bahasa indah, namun tidak pula masa dibazirkan demi sepotong puisi atau syair. Tidak.

Encik Yusfarizal membantu hakim melihat kes pasukan dalam bentuk paling ringkas dan sistematik. Beliau membuktikan sesi penggulungan bukan waktu untuk pendebat tenggelam dalam keasyikan sendiri, tetapi memimpin tangan audiens dan berjalan bersama-sama ke tempat yang dituju.

Mohd Daud Mat Din (UIAM)

Rakan karib saya.

No stone left unturned - ini frasa untuk karakter penggulungan Encik Daud. Beliau mempunyai tabiat mencatat setiap ide yang terlintas atau yang diberi oleh rakan sepasukan sebelum sesi penggulungan bermula. SETIAP ide. Semuanya.

Kemudian, beliau akan membahagikan timbunan ide serangan dan pertahanan ini kepada beberapa kategori.

Fakta bertindan, isi yang kurang diperhatikan hakim, bidasan remeh, lelucon sampingan - kesemuanya dipadam. Kalau pun ada yang ingin disampaikan, diselit sedikit saja.

Yang lain akan dikelompokkan oleh beliau mengikut tema sentimen. Biasanya ada 'cerita besar' di sebalik penggulungan beliau. Kesemua kelompok ini akan diterangkan sehingga kembali pada tema tersebut.

Temanya? Sepanjang debat berlangsung, pasti ada hanya SATU soalan utama yang ditolak darab oleh kedua-dua pasukan. Proses mencari soalan inilah - paling sukar.

Diyana Sulaiman (UITM)

Pendebat wanita nombor satu dalam senarai saya. Tanpa ragu. Aura bujukan dan olak perasaan beliau dalam ucapan penggulungan - hampir mustahil dipadam.

Jarang sekali beliau menggulung kes pasukan dengan isi yang dicerakin rapi, jauh sekali mengulang sebut hujah dan fakta yang telah dihambur ketika sesi penghujahan.

Beliau tampil dalam sesi penggulungan sebagai karakter paling dipercayai. Pertama, sebagai rakan paling karib yang berbual mesra - menerangkan kemelut dalam debat satu persatu.

Atau kedua, sebagai guru paling tabah - tegas dan jelas menjawab setiap serangan pihak lawan sambil memberi faham tentang kes pasukan.

Cik Diyana amat mementingkan 'emosi semasa' audiens, terutamanya hakim. Saat beliau bangkit berbicara, beliau seolah-olah tahu kedudukan tanggapan hakim terhadap perlawanan.

Andai bersama-sama pasukan, akan beliau suburkan. Andai masih timbul syak dan musykil, akan beliau kuburkan.

Abdul Hadi Abdul Apet (USM)

Jika anda mencari karakter penggulung yang santai dan berbisa - inilah antara model paling tepat. Senyum tenang dan bahasa mudah beliau dalam penggulungan membikin pasukan lawan tergamam.

Encik Abdul Hadi menghampiri audiens sebagai orang biasa. Tidak ada kosa kata bombastik, tidak ada degar suara memecah suasana. Tidak ada.

Teknik 'bercerita' dalam penggulungan yang digunakan beliau amat langka sekali ditemukan dalam kalangan pendebat masa kini.

Mendengar penggulungan Encik Abdul Hadi seolah-olah menonton ulang tayang sebuah drama. Ya, bukan ratib hujah dan fakta, tetapi sebuah cerita.

Beliau mengadun sudut teknikal penggulungan dalam bahasa mudah dan analogi yang benar-benar analogi. Bukan sekadar kecindan bahasa, tetapi penerangan untuk sesiapa sahaja.

Saya mencadangkan agar para pendebat mendapatkan video-video debat mereka. Tonton dan belajar.

Ada Apa Dengan Latihan?

Molek juga kalau saya berkongsi dengan para pendebat tentang apakah sebenarnya yang boleh dimanfaatkan dalam sesi latihan? Apakah tabiat yang sering diamalkan oleh para pendebat terdahulu yang telah menjadikan mereka pendebat yang lebih baik dari masa ke masa?

1. Wayar dalam otak

Saya pasti, para pendebat pasti terpesona melihat betapa mudahnya pendebat-pendebat lama mempersembahkan gaya sendiri ketika beraksi di pentas. Effortless. Seolah-olah mereka memang dilahirkan sedemikian rupa.

Tidak sama sekali. 

Mereka menjadikan debat seolah-olah rutin harian kerana mereka tidak pernah gagal untuk menghadiri latihan. Seni pengucapan awam bukannya bakal istimewa yang diperoleh satu dalam sejuta. Debaters are not savants or naturally gifted, except for a few.

Frasa-frasa indah yang terbit lancar dari mulut mereka merupakan hasil ujikaji berpuluh-puluh, malah barangkali beratus-ratus frasa yang diulang cuba dalam sesi latihan.

Jangan malu untuk mencuba dalam sesi latihan. Yang salah ditegur. Yang indah disubur.

Ya, memang benar. Kehebatan mereka bukan keajaiban dan usahlah anda bermimpi untuk menjadi sehebat mereka andai hanya bergoyang kaki dan menunggu masa untuk dipilih masuk ke dalam pasukan. 

Kehebatan mereka sudah dibentuk menjadi sebahagian daripada wayar dalam otak - dek kerana latihan yang tak putus-putus.

Debate is hard work. Period.

2. Biar kecil asal tercapai

Satu lagi aspek dalam latihan yang sering menyebabkan ramai pendebat putus asa, mengaku kalah, dan tunduk pada kepenatan ialah kerana mereka mempunyai matlamat yang terlalu jauh.

Atau lebih malang jika tidak ada arah tuju langsung.

Tidak ada pendebat muda yang tiba-tiba boleh bertukar sehebat Encik Daud Mat Din atau Encik Nizamuddin Hamid dalam masa sehari. Tidak ada. Tidak akan ada.

Tetapkan matlamat yang KHUSUS dan mampu dicapai dalam tempoh masa latihan yang tertentu. Misalnya, untuk latihan hujung minggu ini, saya ingin mengurangkan sebutan 'erm' ketika berdebat.

Atau, saya ingin memenuhi masa tujuh minit. Saya ingin berdiri tegak dan meningkatkan projektil suara. Saya ingin memastikan fakta yang telah digunakan tidak diulang. Saya ingin mengurangkan sebutan berbaur dialek.

Biar khusus dan usaha kita akan ditumpukan sepenuhnya untuk matlamat tersebut. Barulah pendebat akan keluar dari kepompong, menjadi 'pendebat baru' setiap kali tamat sesi latihan.

3. Pendapat bukan format

Ramai pendebat yang rimas dan keliru dengan komentar yang diberikan oleh jurulatih. Semalam, katanya saya perlu menggunakan tempo lebih laju. Hari ini suruh saya perlahan pula.

Minggu lepas katanya saya terlalu garang. Minggu ini suruh saya berkeras pula.

Jangan bimbang. Usah keliru. 

Komentar yang diberikan oleh jurulatih biasanya bersifat responsif dengan persembahan pendebat dan berkaitan juga dengan usul dan mood debat yang wujud ketika sesi latihan tersebut.

Maka, pendebat perlu memahami setiap komen dalam bentuk konteks dan bukannya menyalin setiap butir komen lantas dijadikan senarai peraturan debat. Jangan buat begitu.

Perubahan dan proses tambah baik dalam debat sememangnya subjektif dan kompleks. Sebab itu yang culas datang latihan, akan mendapati diri mereka terawang-awang dan terpisah dengan rakan seangkatan lain - lantaran proses pembentukan karakter debat itu telah terhenti seketika dan perlu dimulakan dari awal.

Dilema Pendebat Ketiga #3

(Bahagian: 1 | 2)

Satu lagi dilema yang dihadapi oleh pendebat ketiga ialah dalam mendepani situasi ekstrem: pasukan lawan terlalu lemah atau pasukan sendiri terlalu lemah.

Situasi 1: Pasukan Lawan Terlalu Lemah

Pendebat pertama dan kedua tampil dengan satu, atau lebih parah, tanpa sebarang hujah. Hanya kes perdebatan yang diulang pintal hingga tamat waktu berhujah. Ada juga pihak lawan yang tidak sempat pun memanfaatkan masa berhujah sepenuhnya. 

Hal ini biasa dihadapi apabila pendebat bertemu dengan pasukan yang terlalu muda dalam perdebatan. Barangkali kurang pengalaman dan/atau persiapan.

Maka, masalah akan timbul apabila pendebat ketiga tidak cukup modal untuk membidas. Tiada hujah dan fakta: apa yang hendak dibidas? 

Ada beberapa perkara yang boleh dilakukan.

Pertama, jangan sesekali merendah-rendahkan pihak lawan. Jangan. Amat mudah untuk pendebat tergelincir dari sempadan santun dalam pengucapan awam apabila peluang menyerang pihak lawan terbuka luas. 

Saya pun pernah melakukan kesilapan yang sama. Pengalaman mengajar kita bahawa semua pendebat mampu jadi hebat tanpa perlu jadi biadap. Hormati pihak lawan - sekuat atau selemah mana pun mereka. 

Kedua, jika hujah pihak lawan terlalu sedikit - pendebat ketiga boleh cuba untuk menerangkan semula hujah pihak lawan. Penerangan bukan dalam bentuk hujahan, tetapi analisis mengenai apakah pemahaman ANDA terhadap hujah tersebut.

Kemudian, bina bidasan dalam bentuk cadangan hujah yang responsif terhadap 'penerangan hujah' sebentar tadi. Rantaian bidasan lebih kurang beginilah: What they plan to say - what they really say - what they suppose to say. 

Lebih manis jika pendebat ketiga hadir dengan bekalan fakta yang mencukupi untuk usul berkenaan dan fakta berkenaan diselitkan dalam cadangan hujah di atas. 

Ketiga, anda boleh lakukan perkara sama untuk bidasan konsep. Oleh kerana ruang masa lebih fleksibel lantaran kekurangan input daripada pihak lawan, pendebat ketiga bolehlah mengambil masa sedikit lama untuk membidas konsep pihak lawan.

State the obvious. Perlu nyatakan kelemahan ketara pihak lawan kepada hakim. Jangan ada tanggapan: takkanlah hakim tak sedar. Jangan. Cuma, cara membongkar kesilapan itu perlulah dilakukan dengan gaya mengajar atau membantu - bukan mencerca. 

Situasi 2: Pasukan Sendiri Terlalu Lemah

Situasi ini boleh wujud dalam beberapa keadaan. Misalnya, pasukan anda memang lemah dari garis mula. Kes kabur, hujah longgar, fakta kurang; atau pasukan anda mungkin stabil pada awal perdebatan namun semakin longlai dek kerana asakan pihak lawan yang tajam dan berkesan.

Dalam mana-mana situasi, pendebat ketiga berhadapan dilema sama ada untuk meneruskan bidasan yang sudah disiapkan atau menukar sedikit peranan untuk membangunkan kes yang berantakan. Beberapa pandangan tentang situasi ini telah saya beri di sini.

Apa lagi yang boleh dilakukan?

Pertama, jangan putus asa. Saya amat mengerti musnahnya semangat juang apabila tiada lagi ruang yang kelihatan untuk menguatkan kembali kes pasukan. Saya faham. Cuma, selagi ucapan penggulungan kerajaan belum tamat, selagi itulah keputusan debat tidak diketahui.

Sekurang-kurangnya kalau mahu berundur dari gelanggang, you do it with honor. Jangan menyerah sebelum pertarungan tamat. Jangan.

Kedua, ambil masa ketika bidasan konsep pihak lawan untuk menerangkan semula kes sendiri. Teknik ini saya akui memang sukar, namun buahnya manis andai berjaya dilaksanakan. 

Caranya, pilih komponen kes pihak lawan yang ingin dibidas. Kemudian, jadikan penerangan semula kes pasukan untuk membidas komponen tersebut. 

Penerangan semula bukan bermaksud mengulang ayat demi ayat yang dibentang oleh pendebat pertama, tetapi pendebat perlu fikir cara lain untuk menerangkan kes. 

Rantaian bidasan konsep lebih kurang beginilah: komponen kes lawan: apa yang lemah: lemah, maka tidak berkesan menyerang kes pasukan: maka kes pasukan kekal: apa yang kekal.

Mesej yang ingin disampaikan oleh pendebat ketiga dalam membantu pasukan yang kelemasan bukannya "Oh my God. That's it. We're dead." - tetapi "We are still in this fight. No matter what."

Dilema Pendebat Ketiga #2

(Bahagian: 1)

3. Tidak tahu = tidak bidas.

Malang juga andai keadaan ini menimpa pendebat ketiga, tetapi saya yakin ramai yang pernah berhadapan dengan situasi yang sama. Pen di tangan sudah bersedia mencatat hujah dan fakta. Tiba-tiba terletuslah dari mulut sang pendebat fakta yang tidak pernah didengar. 

Tak faham. Tak tahu. Asing. Janggal. Canggung. 

Maka fakta ini ditinggalkan sekadar coretan pada kertas tanpa sebarang bidasan. Lebih malang, andai pihak lawan berjaya menghidu kegagalan dan mendedahkan kepada penonton (baca: hakim) - "Hujah ini tidak dibidas."

Komen: Padan muka - siapa suruh malas buat kajian sebelum debat? 

Saya boleh saja menghentikan komen di situ, tapi tak perlulah. Ini bukan sesi maki Simon Cowell atau mana-mana lelaki Inggeris yang meniru beliau dalam realiti TV lain. Cuma mesej itu perlu disampaikan. Jadi pendebat, walau bukan serba tahu - namun mesti sentiasa mahu mencari tahu.

Cuma, para pendebat pasti tidak dapat mengelak kebarangkalian menemukan fakta asing sebegini - biasanya dalam usul perdebatan yang teknikal seperti Debat Alam Sekitar atau usul dengan istilah dan konsep yang khusus. 

Atau dalam mana-mana usul - anda menemukan pasukan yang sememangnya berstrategi sedemikian. Buat fakta yang pelik - biar pihak lawan sukar membidas.

Bagi menangani masalah ini, seperti mana langkah yang saya cadangkan dalam bahagian pertama - cari dan analisis kaitan fakta tersebut dengan kes pihak lawan. Bagaimana? Walau sesulit mana pun satu-satu fakta, pasti ada kesimpulan yang ingin dicapai. Kaji komponen dan kaitan antara objek/nama/situasi/individu yang ada dalam fakta tersebut.

4. Menyerang penyerang.

Dilema ini dihadapi oleh pendebat ketiga pembangkang. Sebelum giliran tiba, pendebat ketiga kerajaan telah selesai menyampaikan bidasan. Maknanya? Ada bidasan yang telah melemahkan kes pembangkang. Ada serangan yang memberi kesan, terutamanya perspektif hakim. 

Maka, pendebat ketiga pembangkang terpaksa menimbang sama ada untuk memulakan bidasan dengan kes dan hujah yang disampaikan oleh pendebat pertama dan kedua - atau terus menyerang balas? Bagaimana pula dengan pengurusan masa jika terlalu banyak fakta yang perlu dibidas? Perlukah bidasan pendebat ketiga kerajaan diabaikan?

Komen: Debat seringkali berkaitan dengan tanggapan yang dibina dalam minda penonton, terutamanya hakim. Semasa bidasan dilakukan oleh pendebat ketiga kerajaan, amat molek untuk rakan sejawatan di pihak pembangkang melakukan analisis kerosakan (damage analysis). Pastinya, dengan bantuan rakan sepasukan.

Sejauh manakah sesi bidasan kerajaan memberi kesan kepada kes pembangkang? Jika serangannya baik dan mengena, maka pendebat ketiga pembangkang harus membalas serangan sebaik sahaja memulakan ucapan. Hapuskan tanggapan (impression) yang telah dibina oleh sesi bidasan pihak lawan. 

Jika serangannya lemah dan tidak mengena, maka bidasan tersebut boleh disentuh secara ringkas selepas selesai bidasan hujah - atau diselesaikan semasa sesi penggulungan.

Komponen bidasan manakah yang lebih tajam dalam ucapan pendebat ketiga kerajaan? Sekiranya serangan lebih mengena pada hujah dan fakta, elakkan daripada menerangkan semula hujah - buang masa. Sebaliknya, kumpul dan nilai bidasan beliau seperti hujah dan fakta. Bahagi masa dengan baik. 

Jika bidasan beliau lebih tertumpu pada kes dan konsep, adunkan kelemahan bidasan tersebut dalam serangan anda terhadap kes pihak lawan. Anggap serangan beliau sebahagian daripada kes kerajaan - kerana serangan pihak lawan biasanya berasaskan kefahaman mereka terhadap kes sendiri.

Dilema Pendebat Ketiga #1

Dalam debat ala parlimen, pendebat ketiga lazimnya ditugaskan untuk membidas segala kesilapan hujah dan fakta yang dikemukakan oleh pihak lawan. Caranya? Terpulang pada kreativiti masing-masing - pun begitu masih ada batas tertentu, pada hemat saya (akan ditulis pada entri lain).

Kali ini, saya cuba fokus pada dilema dan stigma yang selalu ada dalam kalangan pendebat ketiga. Halangan minda yang menyebabkan ramai pendebat ketiga menghadapi kesukaran mengenal pasti (apatah lagi membidas) kesilapan atau fallacy dalam hujah dan fakta pihak lawan.

Oh, bukan. Bukan. Apabila saya menyebut fallacy, saya bukan ingin mengajar ilmu logik. Saya amat daif dalam konteks itu. Jauh sekali untuk menelaah teks Aristotle atau mana-mana filsuf Yunani. 

Yang saya kongsi ini hasil pengalaman semata-mata. Ada benar, ada nanar. 

1. Fakta memang betul, bagaimana mahu dibidas?

Ini antara kekeliruan paling klasik dalam kalangan pendebat. Memang benar, kita mudah kagum dengan fakta rinci dan tepat yang dibawa oleh pihak lawan. Apatah lagi andai fakta itu diadun dengan angka dan nama pengarang yang sukar disebut. 

Atau, fakta yang tersohor di sudut dunia mana sekali pun. Sahih, nyata benar. Misalnya - kematian ribuan rakyat Palestin angkara Israel, ekonomi Amerika tumbang dek krisis sub prima, Sepanyol memenangi Piala Dunia 2010, dan sebagainya. 

Komen: Fakta bersifat benar, memang benar sebagai fakta. Titik. Sebab itu debat bukan soal fakta semata-mata, tetapi juga PENGGUNAAN fakta dalam hujah. Fakta pihak lawan yang dianggap benar dan sahih dari segi sifat, perlu disemak dengan kes perdebatan.

Adakah fakta tersebut tepat dengan pencirian kes? Adakah fakta menerangkan hujah? Wujudkah fakta lain untuk menyanggah mesej atau maksud yang dibawa? Lengkapkah kandungan fakta dengan komponen jalan cerita atau kes yang ingin dibuktikan? Soalan-soalan di atas bukan bidasan tetapi cara untuk menilai fakta yang diketahui benar dalam perdebatan. 

Justeru, amat molek jika pendebat ketiga mempunyai sehelai kertas yang disediakan khusus untuk mencatat kes pihak lawan semata-mata. Jika mampu, setiap patah perkataan disalin tanpa gagal. Kes yang gagal diimani dengan menyediakan fakta tangkap muat - seharusnya diserang bertubi-tubi.

2. Tolong! Fakta terlalu banyak!

Ini juga mimpi ngeri bagi kebanyakan pendebat ketiga. Bangun pendebat pertama pihak lawan, lapan fakta. Pendebat kedua, 15 fakta. Usah bicara soal bidas - nak salin pun banyak yang terlepas. Biasalah, strategi pasukan masing-masing.

Komen: Pendebat yang hadir ke gelanggang dengan seguni fakta biasanya tampil dengan beberapa petanda: mata kerap merujuk kertas, tempo penyampaian pantas, hujah bermula dengan kenyataan umum diikuti fakta-fakta ringkas, dan lain-lain.

Sekiranya simptom di atas dikesan - pendebat harus pantas mempersiap minda. Dengar dengan teliti dan buat nota minda. Ulang sebut fakta dalam hati sambil catat sepantas mungkin. Ingat, yang dicatat bukan ayat - tetapi fakta: nama, angka, tempat, istilah, kaitan, bukti.

Tujuan menyalin bukan untuk ulang sebut segala-galanya tetapi untuk mengesan keseragaman dalam semua fakta. Cari tema dan mesej di sebalik semua fakta. Simpulkan (sambil menyebut sebahagian/semua fakta sepintas lalu) dan cuba bidas kaitan fakta tersebut dengan kes.

Lambakan fakta turut hadir dengan risiko percanggahan. Teliti semua fakta yang disampaikan - pasti ada satu atau dua fakta yang bercanggah antara satu sama lain. 

Ada beberapa dilema lagi yang akan saya senaraikan dalam edisi kedua. Insya Allah. Semoga artikel kecil ini memberi sedikit manfaat buat semua pengamal debat dan seni pengucapan awam.