Thursday, July 28, 2011

Dilema Pendebat Kedua #1

Untuk siri pertama, elok juga kalau kita imbau semula peranan pendebat kedua. 

Kemudian, kita kenal pasti beberapa karakter berguna yang boleh diamalkan oleh para pendebat yang berada di posisi berkenaan.

Biasanya pendebat kedua (Timbalan Perdana Menteri / Timbalan Ketua Pembangkang) mempunyai tugas untuk menegakkan kembali kes yang dibawa oleh pendebat pertama, di samping menyerang pihak lawan dan membawa hujah untuk pasukan.

Kenapa saya condongkan frasa 'menegakkan kembali'? 

Sebab, ini frasa yang paling masyhur dalam kalangan pendebat kedua, namun begitu sedikit sekali yang memahami semangat dan mekanisme frasa tersebut.

Yang itu, akan saya karang dalam entri seterusnya.

Secara keseluruhan, pendebat kedua merupakan pendebat yang perlu membidas dan berhujah secara seimbang dan bijak dalam tempoh yang disediakan.

Inilah yang dinanti-nantikan oleh audiens, terutamanya para hakim.

Pendebat kedua yang mampu mematahkan kes lawan seawal minit pertama ucapan, dan mampu memukau audiens dengan ketajaman hujah dan fakta untuk menerangkan kes pasukan.

Soal teknik dan struktur, ini juga saya akan karang dalam siri seterusnya.

Justeru, bagi memastikan pendebat mampu menjalankan kedua-dua tugas membidas dan menyampaikan hujah dengan baik, berikut merupakan beberapa karakter atau sifat yang molek sekali diamalkan.

1. Bahagi Dua

Mentaliti berhujah dan membidas tidak sama. Menyerang dan bertahan, tidak sama.

Sebagai pendebat kedua, anda perlu membahagikan perasaan dan karakter kepada dua keadaan.

Semasa membidas, tumpukan mood penyampaian kepada serangan. Dengan santun dan sinis, buktikan kelemahan kes lawan.

Ini waktu menyerang. Bahasa mesti ringkas dan tajam. Intonasi juga lebih sinis dan nakal. 

Berbeza sekali apabila apabila anda tiba pada sesi penghujahan. Tidak boleh tidak, karakter menyerang tadi perlu dipadam.

Tumpuan anda sekarang bukan lagi sepenuhnya pada pihak lawan, tetapi kebanyakannya beralih pada audiens (terutamanya hakim).

Mereka menunggu anda menyampaikan hujah dan fakta untuk pasukan. Kalau asyik serang saja tapi tiada isi, apa faedahnya?

Sesi penerangan perlu dilakukan dengan jelas dan teliti. Bantu audiens memahami setiap hujah dan fakta. Tampilkan diri sebagai individu yang mudah didekati.

Sebagai seorang rakan. Sebagai seorang guru. Penerangan mementingkan karakter yang boleh dipercayai. Unsur kebodohan buta tuli atau jenaka keterlaluan akan memadamkan rasa percaya audiens.

2. Cuba Posisi Lain

Hal ini sebenarnya baik untuk semua pendebat tetapi saya perlu tekankan karakter ini kepada pendebat kedua.

Jangan sekali-kali kekal pada posisi pendebat kedua semata-mata. Saya pasti, mana-mana jurulatih akan menukarkan kedudukan para pendebat ketika sesi latihan.

Usah malu untuk mencuba posisi pendebat pertama dan ketiga.

Malah, inilah langkah yang penting untuk anda menyelami teknik penerangan (pendebat pertama) dan teknik bidasan (pendebat ketiga) dengan lebih mendalam.

Kenal pasti kemahiran dan ciri-ciri penting yang anda mahukan ketika berlatih sebagai pendebat pertama dan ketiga.

Apabila anda berlatih sebagai pendebat pertama, misalnya, perhatikan perjalanan debat dan kenal pasti apa yang anda mahu pendebat kedua sampaikan selepas giliran anda tamat untuk menambah kekuatan pasukan.

Perkara itu jugalah yang akan anda gunakan apabila kembali ke posisi asal.

3. Faham Jalan Cerita

Pendebat pertama meletakkan batu asas kes pasukan. Pendebat ketiga akan cuba menghancurkan batu asas pihak lawan.

Maka, pendebat kedualah antara yang memikul beban terberat bagi memastikan audiens benar-benar memahami kes pasukan.

Hal ini hanya mampu dicapai apabila anda faham sungguh-sungguh dengan kes pasukan.

'Faham' tidak sama dengan 'tahu'.

Tahu ialah apa yang tertulis pada catatan debat anda. Premis, rasional, hujah, fakta. Semua orang yang dengar, mungkin tahu.

Tetapi, faham ialah kemampuan untuk menyertakan JALAN CERITA kes anda ke dalam setiap fakta yang dikemukakan.

Maknanya anda boleh ceritakan kes pasukan dari arah mana sekali pun. Depan ke belakang, kiri ke kanan. Semua boleh.

Jalan cerita mesti dikenal pasti seawal perbincangan dan disambung ketika perdebatan berlangsung.

Apakah yang ingin dibuktikan pada penghujung setiap fakta? Apakah yang berlaku dalam setiap hujah? Di manakah kaitan antara frasa-frasa dalam usul? Bagaimana untuk anda kaitkan premis dan kesimpulan setiap fakta?

Semua ini mesti dicerna tanpa sebarang ragu oleh pendebat kedua.

Tiada guna melambakkan fakta merata-rata, namun tiada jalan cerita yang membuktikan kes pasukan. 

No comments:

Post a Comment