Thursday, July 28, 2011

Menjelang Debat Perpaduan & Integrasi Nasional 2011

Saya berkesempatan menjengah perlawanan persahabatan debat di antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi MARA (UITM). Tahniah buat UIAM selaku tuan rumah.

Memandangkan perlawanan persahabatan tersebut diadakan sebagai persiapan kedua-dua buah universiti bagi menghadapi beberapa pertandingan terutamanya Debat Perpaduan & Integrasi Nasional (DPIN) 2011 yang akan diadakan pada 22-26 Julai ini di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), saya rasa molek kiranya saya mencoretkan beberapa tips atau petua ringkas yang sedikit sebanyak mampu membantu persediaan para pendebat.

SATU

DPIN merupakan salah satu pertandingan debat bertema, seperti Debat Alam Sekitar dan Debat Kepenggunaan. Justeru, terdapat beberapa ruang lingkup fakta yang wajib diketahui oleh para pendebat. 

Beri fokus pada peristiwa yang mempengaruhi perpaduan di Malaysia bermula dari era Merdeka hingga kini. Berikut merupakan senarai ringkas (tidak komprehensif) berkenaan peristiwa yang relevan dengan pembentukan perpaduan di Malaysia:

  • Pembentukan Parti Perikatan
  • Penggubalan Perlembagaan Persekutuan
  • Tragedi 13 Mei 1969
  • Pembentukan MAGERAN
  • Rukun Negara
  • Pembentukan Jabatan Perpaduan Negara
  • Operasi Lalang (1987)
  • Peristiwa Kampung Rawa (1998)
  • Tuntutan Suqiu (1999)
  • Peristiwa Kampung Medan (2001)
  • Cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (2005)
  • Memorandum 9 menteri (2006)
  • Tuntutan HINDRAF (2007)
  • Isu kalimah Allah (2010)

Perlu diingat, penguasaan fakta dalam isu-isu di atas bukan bermakna kesemua fakta ini perlu menjadi hujah wajib yang dikemukakan dalam setiap usul yang didebatkan. 

Pun begitu, penguasaan fakta dalam bentuk kronologi ini penting untuk memastikan para pendebat memahami perkembangan isu perpaduan di Malaysia agar setiap usul dapat diperhalusi dengan perspektif yang lebih luas dan menyeluruh.

DUA

Perkembangan isu perpaduan juga berkait rapat dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu, kedudukan agama Islam dan Bahasa Melayu, kebebasan beragama, dan sebagainya.

Penting bagi seorang pendebat untuk mengetahui (bahkan menghafal) peruntukan-peruntukan tersebut agar lebih mudah dijadikan rujukan, hujah, malah bidasan dalam sesi debat.

Pemahaman peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan lebih mudah diperoleh sekiranya para pendebat mengkaji cadangan yang dibentangkan oleh Suruhanjaya Reid ketika Perlembagaan Persekutuan mula-mula digubal. 

Beberapa makalah undang-undang berkenaan Perlembagaan Persekutuan yang dikarang oleh pakar-pakar perlembagaan seperti Profesor Shad Salem Faruqi dan Profesor Abdul Aziz Bari boleh dijadikan panduan.

TIGA

Kebanyakan usul DPIN hampir mirip bunyinya, terutama sekali usul-usul yang mengandungi subjek yang sama, misalnya perpaduan, 1Malaysia, integrasi nasional.

Para pendebat perlu berhati-hati agar tidak mengemukakan kes perdebatan yang bersifat hentam keromo atau pukul rata; iaitu satu kes yang digunakan berulang kali walau pun pada usul berbeza.

Hal ini berbahaya kerana setiap usul memerlukan pendekatan yang berbeza. Sekiranya kes sama dibentangkan, pihak lawan akan dapat membaca taktik pasukan dengan lebih mudah. Sekali pun pihak lawan berbeza-beza, para pendebat perlu mengakui bahawa setiap taktik pasukan mudah tersebar sesama pendebat dalam mana-mana kejohanan.

Para hakim juga akan cepat bosan dengan pendekatan yang sama bagi setiap usul, dan ini akan menjejaskan tanggapan hakim terhadap pasukan.

EMPAT

Kita tidak dapat mengelak daripada berbincang dan berdebat tentang beberapa isu sensitif apabila isu perpaduan dibangkitkan.

Justeru, para pendebat perlu matang dalam menilai isu atau hujahan mana yang wajar dikemukakan dalam perdebatan dan isu yang sensitif. Tidak ada sesiapa yang mahu gelanggang DPIN menjadi medan tengkar antara kaum.

Hal ini juga penting kerana panel hakim bukan saja terdiri daripada bekas pendebat, pegawai Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM), mahu pun pegawai Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) - malah pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang sentiasa bertungkus-lumus merancang program berteraskan perpaduan di seluruh negara.

LIMA

DPIN diadakan untuk meraikan kepelbagaian. Tonjolkan kekuatan pasukan anda yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Usah jadikan penguasaan Bahasa Melayu yang sederhana mana-mana ahli pasukan sebagai titik kelemahan.

Sebaliknya, serlahkan kepelbagaian dalam pasukan melalui ucapan alu-aluan (yang ringkas) yang menggambarkan warna-warni dalam pasukan. Hal ini yang menjadikan DPIN unik berbanding pertandingan debat lain.

No comments:

Post a Comment