Thursday, July 28, 2011

Dilema Pendebat Ketiga #3

(Bahagian: 1 | 2)

Satu lagi dilema yang dihadapi oleh pendebat ketiga ialah dalam mendepani situasi ekstrem: pasukan lawan terlalu lemah atau pasukan sendiri terlalu lemah.

Situasi 1: Pasukan Lawan Terlalu Lemah

Pendebat pertama dan kedua tampil dengan satu, atau lebih parah, tanpa sebarang hujah. Hanya kes perdebatan yang diulang pintal hingga tamat waktu berhujah. Ada juga pihak lawan yang tidak sempat pun memanfaatkan masa berhujah sepenuhnya. 

Hal ini biasa dihadapi apabila pendebat bertemu dengan pasukan yang terlalu muda dalam perdebatan. Barangkali kurang pengalaman dan/atau persiapan.

Maka, masalah akan timbul apabila pendebat ketiga tidak cukup modal untuk membidas. Tiada hujah dan fakta: apa yang hendak dibidas? 

Ada beberapa perkara yang boleh dilakukan.

Pertama, jangan sesekali merendah-rendahkan pihak lawan. Jangan. Amat mudah untuk pendebat tergelincir dari sempadan santun dalam pengucapan awam apabila peluang menyerang pihak lawan terbuka luas. 

Saya pun pernah melakukan kesilapan yang sama. Pengalaman mengajar kita bahawa semua pendebat mampu jadi hebat tanpa perlu jadi biadap. Hormati pihak lawan - sekuat atau selemah mana pun mereka. 

Kedua, jika hujah pihak lawan terlalu sedikit - pendebat ketiga boleh cuba untuk menerangkan semula hujah pihak lawan. Penerangan bukan dalam bentuk hujahan, tetapi analisis mengenai apakah pemahaman ANDA terhadap hujah tersebut.

Kemudian, bina bidasan dalam bentuk cadangan hujah yang responsif terhadap 'penerangan hujah' sebentar tadi. Rantaian bidasan lebih kurang beginilah: What they plan to say - what they really say - what they suppose to say. 

Lebih manis jika pendebat ketiga hadir dengan bekalan fakta yang mencukupi untuk usul berkenaan dan fakta berkenaan diselitkan dalam cadangan hujah di atas. 

Ketiga, anda boleh lakukan perkara sama untuk bidasan konsep. Oleh kerana ruang masa lebih fleksibel lantaran kekurangan input daripada pihak lawan, pendebat ketiga bolehlah mengambil masa sedikit lama untuk membidas konsep pihak lawan.

State the obvious. Perlu nyatakan kelemahan ketara pihak lawan kepada hakim. Jangan ada tanggapan: takkanlah hakim tak sedar. Jangan. Cuma, cara membongkar kesilapan itu perlulah dilakukan dengan gaya mengajar atau membantu - bukan mencerca. 

Situasi 2: Pasukan Sendiri Terlalu Lemah

Situasi ini boleh wujud dalam beberapa keadaan. Misalnya, pasukan anda memang lemah dari garis mula. Kes kabur, hujah longgar, fakta kurang; atau pasukan anda mungkin stabil pada awal perdebatan namun semakin longlai dek kerana asakan pihak lawan yang tajam dan berkesan.

Dalam mana-mana situasi, pendebat ketiga berhadapan dilema sama ada untuk meneruskan bidasan yang sudah disiapkan atau menukar sedikit peranan untuk membangunkan kes yang berantakan. Beberapa pandangan tentang situasi ini telah saya beri di sini.

Apa lagi yang boleh dilakukan?

Pertama, jangan putus asa. Saya amat mengerti musnahnya semangat juang apabila tiada lagi ruang yang kelihatan untuk menguatkan kembali kes pasukan. Saya faham. Cuma, selagi ucapan penggulungan kerajaan belum tamat, selagi itulah keputusan debat tidak diketahui.

Sekurang-kurangnya kalau mahu berundur dari gelanggang, you do it with honor. Jangan menyerah sebelum pertarungan tamat. Jangan.

Kedua, ambil masa ketika bidasan konsep pihak lawan untuk menerangkan semula kes sendiri. Teknik ini saya akui memang sukar, namun buahnya manis andai berjaya dilaksanakan. 

Caranya, pilih komponen kes pihak lawan yang ingin dibidas. Kemudian, jadikan penerangan semula kes pasukan untuk membidas komponen tersebut. 

Penerangan semula bukan bermaksud mengulang ayat demi ayat yang dibentang oleh pendebat pertama, tetapi pendebat perlu fikir cara lain untuk menerangkan kes. 

Rantaian bidasan konsep lebih kurang beginilah: komponen kes lawan: apa yang lemah: lemah, maka tidak berkesan menyerang kes pasukan: maka kes pasukan kekal: apa yang kekal.

Mesej yang ingin disampaikan oleh pendebat ketiga dalam membantu pasukan yang kelemasan bukannya "Oh my God. That's it. We're dead." - tetapi "We are still in this fight. No matter what."

1 comment:

  1. Salam abg bonsai..nk tnye..macam mana kalau ade situasi..di mana pendebat ketiga itu ada

    (1)masalah segmentasi..sebagai contoh..bidasan perlu dibahagi kepada 2..konsep dan hujah..namun apabila membidas konsep..ada tendency untuk bidas terus hujah..struktur tersebut akan nampak berserabut dan tidak cantik flow die..sebab apabila masuk bidas hujah..akan nampak pengulangan berlaku..


    (2) apa yg patutu dilakukan kalau x taw nak bidas ape konsep..andai kata pihak lawan memg sangat berpengalaman..membawa konsep yg ringkas dan memg sgt jelas..ini selalu jadi maslah kepada pendebat baru seperti saya..sekian salam.. =D

    ReplyDelete